Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

"Doakan Agar Kebenaran Akhirnya Menemukan Jalannya" - Sehari Sebelum Hadapi Pertuduhan, Anak Dakwa Abdul Azeez Ditahan Lagi

AZEEZ
Kredit: Facebook Mohamed Khairul Azman

Anak kepada Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Azman Azeez meluahkan kesedihan selepas mendakwa bapanya sekali lagi ditahan polis malam ini, sehari sebelum dijadualkan hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan.

Azman yang juga Exco Pemuda UMNO Malaysia berkata, Abdul Azeez kini berada di Balai Polis Dang Wangi dan dipercayai akan dibawa untuk permohonan reman esok.

Menurutnya, bapanya sepatutnya hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok bagi menghadapi pertuduhan yang bakal dikenakan terhadapnya.

“Esok, ayah saya sepatutnya melangkah ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk menghadapi pertuduhan yang bakal dikenakan terhadapnya.

“Namun malam ini, ayah saya sekali lagi berada dalam tahanan dan kali ini di Balai Polis Dang Wangi dan dikatakan akan direman bermula esok,” katanya menerusi satu kenyataan malam ini.

Azman berkata, esok juga sepatutnya menjadi hari bapanya bersama rakan-rakan seperjuangan pada Perhimpunan Agung UMNO, namun perkembangan terbaharu itu menyebabkan segala perancangan mereka berubah.

Katanya, beliau sukar menerima keadaan yang sedang dilalui bapanya dan menegaskan kenyataan itu dibuat bukan atas kapasiti sebagai Exco Pemuda UMNO atau ahli politik, sebaliknya sebagai seorang anak.

Menurut Azman, sepanjang mengenali bapanya, Abdul Azeez merupakan seorang yang kuat dan memilih untuk berdiam diri ketika dihina serta bersabar ketika berdepan pelbagai tuduhan.

“Sebagai anak, percayalah… melihat seorang ayah melalui saat seperti ini bukan sesuatu yang mudah.

“Ada rasa sedih. Ada rasa takut. Ada rasa kecewa. Dan ada malam-malam tertentu yang membuatkan kita hanya mampu termenung dan bertanya kepada Allah, ‘Kenapa beliau perlu melalui semua ini?’” katanya.

Bagaimanapun, Azman berkata beliau tidak mahu mendahului proses mahkamah atau menjatuhkan hukuman terhadap mana-mana pihak.

Sebaliknya, beliau berharap segala proses undang-undang terhadap bapanya dapat dilaksanakan secara adil, telus dan tanpa prejudis.

“Saya cuma berharap satu perkara iaitu biarlah proses ini berjalan dengan adil, telus dan tanpa prejudis. Pertuduhan hanyalah pertuduhan sehingga dibuktikan di mahkamah,” katanya.

Dalam pada itu, Azman turut meminta orang ramai mendoakan agar bapanya diberikan kekuatan dan ketenangan serta segala urusan yang dihadapinya dipermudahkan.

“Dan paling penting, doakan agar kebenaran akhirnya menemukan jalannya.

“Kerana di sebalik seorang yang dikenali ramai sebagai Azeez Rahim, beliau seorang insan yang kami sekeluarga panggil Ata.

“Dan malam ini, sebagai seorang anak, hati saya benar-benar berat dan sedih. Hasbunallah wanikmal wakil,” katanya.