Ketika kebakaran hutan dan tanah sedang melanda, turunnya hujan sememangnya menjadi satu kelegaan besar buat petugas di lapangan.
Bagi pasukan gabungan yang hampir seharian berdepan api di Kalimantan Timur, hujan lebat yang turun dianggap sebagai satu rahmat yang cukup bermakna.
Menerusi rakaman yang tular di media sosial, dapat dilihat detik menyentuh hati apabila petugas yang keletihan secara spontan melakukan sujud syukur dan bersorak keriangan.
Menurut laporan Detik News, para petugas sebelum itu telah berhempas pulas memadam kebakaran hutan dan tanah seluas 5.5 hektar di sekitar Kampung Kasai, Kabupaten Berau.
Petugas Di Kalimantan Bersorak & Sujud Syukur
Ketua UPTD KPHP Berau Utara, Dinas Kehutanan Kalimantan Timur, Najib berkata anggota bertugas melakukan operasi pemadaman sejak pagi hingga malam selepas beberapa titik kebakaran dikenal pasti.

“Berdasarkan laporan, terdapat kira-kira tiga hingga empat titik yang dipadamkan oleh anggota. Mereka sebenarnya sudah bergerak sejak pagi, sekitar jam 10 pagi menuju ke lokasi-lokasi yang disyaki berlaku kebakaran.
“Memang tiada rehat. Dari pagi hingga petang mereka terus bergerak untuk memadamkan api yang muncul.
“Video yang tular itu memang dirakam ketika anggota selesai memadamkan api dan tiba-tiba hujan turun. Rasa lega dan gembira itu memang sangat terasa selepas hampir seharian mereka berdepan kebakaran dalam keadaan yang sangat berisiko.
“Ditambah pula dengan cuaca panas sebelum hujan turun secara tiba-tiba. Keadaan itu membuatkan anggota kembali bersemangat dan secara spontan menzahirkan rasa syukur kerana hujan lebat akhirnya turun,” katanya lagi.
Najib berkata hujan tersebut merupakan satu bantuan besar ketika ancaman kebakaran hutan dan tanah di Berau masih berada pada tahap tinggi, lebih-lebih lagi ketika anggota masih berdepan dengan banyak titik api yang memerlukan tindakan.
Hujan dianggarkan mula turun sekitar jam 9 malam waktu tempatan dan berterusan selama kira-kira sejam. Hujan bukan sahaja membasahi kawasan Kasai, malah turut meliputi beberapa kampung lain di Berau.
