Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Sekolah Irene Sofiya Ada CCTV Namun Tidak Dipasang Di Kawasan Kejadian - Fadhlina

Sekolah Irene Ada CCTV
KUALA LUMPUR, 5 Okt - Reaksi Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini susulan kes kejadian bunuh membabitkan pelajar perempuan tingkatan empat di Yong Peng, Johor. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Sekolah yang menjadi tempat berlakunya kejadian bunuh membabitkan pelajar perempuan tingkatan empat di Yong Peng, Johor, dilengkapi kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) namun tidak dipasang di kawasan insiden itu berlaku.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata susulan itu, pihaknya sedang melakukan siasatan terhadap syarikat kawalan keselamatan sekolah terbabit bagi memastikan tiada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

“Sekolah itu ada CCTV cuma CCTV itu tidak dipasang di tempat kejadian jenayah itu berlaku.

“Sebab itu saya katakan, selain fasa (pemasangan baharu) itu, mana-mana sekolah yang telah mempunyai CCTV tetapi tidak berfungsi atau rosak, sila maklumkan kepada kita untuk ditambah baik fungsinya supaya dapat merakam kejadian di sekolah,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Mengenai aspek keselamatan, beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menyemak rekod rondaan dan pelaksanaan tugas oleh syarikat kawalan keselamatan pada hari kejadian secara menyeluruh.

Fadhlina turut memberikan amaran mengenai tindakan kewangan atau penamatan kontrak boleh diambil sekiranya berlaku pelanggaran syarat yang telah ditetapkan.

Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai supaya menghentikan penyebaran maklumat palsu berhubung insiden tersebut demi menghormati keluarga mangsa yang sedang berduka, selain suspek bawah umur yang masih dalam siasatan polis.

“Ada dakwaan mengatakan mangsa diseret dari surau ke dewan tempat kejadian serta dakwaan cermin pecah di surau, ini semua tidak benar. Jangan kita menambah luka dengan spekulasi,” katanya.

Ketika menzahirkan ucapan takziah, Fadhlina berkata KPM menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mangsa Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di dewan sekolah terbabit pada kira-kira 5.50 petang.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata mangsa mengalami beberapa kecederaan pada bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Polis kemudian menahan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun di sekitar Yong Peng kira-kira 7 malam pada hari sama sebelum memperoleh perintah reman selama enam hari hingga 9 Okt bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.