Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Sekpur Lapor Polis Dakwaan Perancangan Jatuhkan MB Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz

sekpur
Setiausaha Agung Sekpur Razali Zakaria (kanan) dan Timbalan Setiausaha Agung Sekpur Dzuhri Abdullah (kiri) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini hari ini. Razali berkata pihaknya membuat laporan berhubung dakwaan terdapat perancangan atau pakatan oleh pihak tertentu bagi menggulingkan Menteri Besar Datuk Ismail Lasim dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. Kredit: Bernama

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (Sekpur) membuat laporan polis dengan mendakwa terdapat perancangan atau pakatan oleh pihak tertentu bagi menggulingkan Menteri Besar Datuk Ismail Lasim dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Iklan

Setiausaha Agung Sekpur Razali Zakaria berkata pihaknya mengesyaki terdapat kemungkinan wujudnya perancangan menjatuhkan Menteri Besar melalui surat peletakan jawatan yang disediakan dan diserahkan tanpa persetujuan Ismail sendiri.

“Sekpur turut mempunyai syak wasangka mungkin terdapat kaitan antara pihak terlibat dalam isu surat peletakan jawatan Menteri Besar dengan mana-mana usaha menggulingkan atau menyingkirkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan melalui tindakan yang menyalahi undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini hari ini.

Oleh itu, Razali mahu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti pihak yang merancang, mengarahkan, menyediakan serta menyerahkan surat peletakan jawatan berkenaan ke pihak istana.

Beliau turut memohon pihak polis menyiasat sama ada individu atau kumpulan yang sama terlibat mendalangi kedua-dua percubaan itu.

Razali berkata laporan polis berkenaan dibuat demi mempertahankan demokrasi dan keluhuran perlembagaan Negeri Sembilan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Ahmad Azwan Amin Nordin mengesahkan pihaknya menerima laporan dakwaan berkenaan, dengan pengadu memohon supaya siasatan dijalankan berdasarkan laporan media dan kenyataan yang dirujuknya.

Ismail pada sidang media semalam menjelaskan bahawa beliau tidak menyerahkan mahupun mengizinkan penyerahan surat peletakan jawatan kepada Tuanku Muhriz, sambil menyatakan bahawa surat itu telah disimpan oleh kepimpinan partinya.

Kontroversi tentang kedudukan Ismail timbul pada Isnin lepas apabila Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi BN, mengumumkan bahawa Menteri Besar itu telah meletak jawatan.

Semalam, Istana Negeri Sembilan menegaskan bahawa Ismail mesti membuktikan sokongan majoriti yang berterusan dalam Dewan Undangan Negeri bagi menentukan kedudukannya selaras dengan konvensyen dan peruntukan perlembagaan.