Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Sempat Minta Anak-anak Balik, Mak ‘Pergi’ Lepas Titip Pesan Terakhir
Orang selalu kata, bila insan bergelar ibu ‘pergi’ buat selamanya, dunia tiba-tiba terasa kosong dan gelap.
Ibu yang membesarkan kita dengan penuh kasih sayang, menatang kita bagai minyak yang penuh, tiba-tiba tiada lagi di sisi. Tempat kita bermanja, tempat kita mengadu, hilang begitu sahaja.
Sakitnya kehilangan itu sukar digambarkan dengan kata-kata. Hanya yang pernah merasainya tahu betapa peritnya rasa itu.
Baru-baru ini, tular satu perkongsian di media sosial daripada seorang wanita yang berkongsi kisah duka pemergian ibu tercinta.
Dalam videonya, dia mengimbas kembali detik-detik terakhir bersama insan paling disayangi itu.
Katanya, arwah ibunya sempat meminta semua anak-anak pulang ke kampung untuk mengadakan majlis doa selamat. Majlis itu diadakan sebelum ibunya menjalani pembedahan akibat ketumbuhan di hati.
“Mak panggil semua anak-anak balik untuk buat doa selamat sebelum operation. Alhamdulillah, semua balik,” katanya.
Namun, tiada siapa menduga, itulah kali terakhir mereka mendengar nasihat dan suara lembut si ibu.
Menurut perkongsian si anak, ibunya telah selamat menjalani pembedahan dan kelihatan semakin sihat selepas itu.
“Cuma mak nampak lemah sebab takda selera makan,” tambahnya.
Akhirnya, pada 28 Oktober lalu, ibu kesayangan mereka itu akhirnya pergi menghadap Ilahi.
“Kosong dan gelap dunia bila insan yang bergelar ibu atau emak pergi menghadap Ilahi. Moga syurga tempatmu, wahai syurgaku,” tulis si anak.
Dalam perkongsian lanjut, si anak memaklumkan bahawa punca kematian ibunya disebabkan ulser pada usus yang menyebabkan pendarahan di perut. Katanya, ibunya muntah darah sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Di ruangan komen, berita pemergian itu ternyata menyentuh hati ramai pengguna media sosial yang turut menitipkan doa serta ucapan takziah.
Di sebalik rasa sedih dan rindu yang tak berpenghujung, perkongsian ini seakan satu peringatan lembut untuk kita semua, bahawa kasih ibu tiada gantinya.
Kadang, kita terlalu sibuk dengan urusan dunia, hingga terlupa untuk menghargai insan yang setiap hari mendoakan kita dari jauh.
Selagi mereka masih ada, peluklah mereka. Selagi sempat, luahkan kasih dan sayang. Kerana suatu hari nanti, ‘suara’ mereka akan hilang, hanya bergema dalam ingatan.
BACA: “Disuruh buat susu anak…” – Suami ‘Mamai’ Bawa Benda Lain Masuk Bilik
Sumber: TikTok @muaazlinda