Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Sempena Hari Bumi, Anda Boleh Hasilkan Nama Guna Imej Satelit NASA
Umum ketahui, nama merupakan sesuatu yang sangat dekat dengan individu.
Sejak lahir lagi, setiap orang akan diberikan nama sebagai tanda pengenalan diri dan membezakan kita antara satu sama lain dalam masyarakat.
Bukan sekadar panggilan biasa, nama juga sering membawa makna tertentu, harapan, dan identiti yang dibentuk oleh keluarga.
Sebab itu, ramai yang rasa nama mereka cukup istimewa dan ada nilai sentimental tersendiri.
Walau bagaimanapun, nama bukan hanya terhad kepada manusia sahaja.
Haiwan peliharaan seperti kucing, malah objek atau tempat juga diberikan nama supaya lebih mudah dikenali dan diingati.
Nama membantu kita berhubung, berinteraksi dan memberi makna kepada sesuatu dalam kehidupan seharian.
Namun begitu, pernahkah anda bayangkan kalau nama sendiri boleh “ditulis” dengan cara yang berbeza, bukan sekadar huruf biasa, tetapi dihasilkan daripada pemandangan sebenar planet Bumi?
Baru-baru ini, agensi angkasa terkenal NASA tampil dengan satu inisiatif kreatif sempena sambutan Earth Day yang membolehkan orang ramai melihat nama mereka dieja menggunakan imej satelit sebenar.
Menerusi hantaran yang dikongsikan oleh @NasaKennedy di platform X, mereka memaklumkan bahawa orang ramai kini boleh menjana nama sendiri menggunakan pemandangan bumi.
Dalam portal tersebut, setiap huruf dalam nama akan dipadankan dengan bentuk semula jadi seperti sungai, jalan, gunung dan pelbagai landskap lain yang menyerupai abjad tertentu.
Imej-imej tersebut pula diambil daripada program satelit Landsat, iaitu program yang telah merakam permukaan Bumi selama beberapa dekad.
Hasilnya, nama yang terpapar bukan sekadar teks biasa, tetapi gabungan imej sebenar dari planet kita yang membentuk huruf satu per satu.
1. Layari laman sesawang https://science.nasa.gov/specials/your-name-in-landsat/

2. Isikan nama anda pada ruangan yang disediakan.

3. Tekan butang Enter.

4. Nama anda yang dijana menggunakan imej satelit akan dipaparkan pada skrin.

Menarik, bukan? Jadi, macam mana pula hasil nama anda? Cuba sekarang.