PASIR PUTEH, 17 Ogos – Enggan menyerah diri, 19 nelayan asing Vietnam bersama dua bot ditahan Negeri Kelantan apabila mereka bertindak ganas dengan merempuh dan melempar bom diesel ke atas bot Maritim Malaysia dengan cubaan untuk melepaskan diri daripada diperiksa.
Tindakan nekad nelayan Vietnam itu memaksa anggota penguatkuasa mempertahankan aset dan keselamatan nyawa pasukan dengan melepaskan tembakan amaran ke udara namun tidak diendah.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kapten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, kedegilan nelayan asing Vietnam untuk menghentikan bot mereka dan menyerah diri dengan bertindak agresif dan ganas itu mengancam keselamatan nyawa anggota serta mencabar kedaulatan undang-undang negara ini.
“Dalam kejadian tersebut, tembakan amaran ke udara diberikan namun mereka terus melemparkan beberapa bom diesel serta membaling getah yang dicucuh api ke arah bot Penyelamat 7 supaya bot terbakar.
“Tidak cukup dengan itu, objek keras juga dilempar bertalu-talu ke arah anggota hingga menyebabkan terdapat bahagian bot yang pecah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya lagi, kedua-dua bot nelayan terbabit bertindak semakin ganas dengan merempuh Bot Penyelamat 7 lalu mengakibatkan anggota bertugas terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan keselamatan aset kerajaan dan anggota-anggota Maritim Malaysia.
Ekoran rempuhan itu, Bot Penyelamat 7 telah mengalami kerosakan di bahagian atas bot, manakala seorang salah seorang awak-awak Vietnam terkena tembakan dan akhirnya kedua-dua bot dapat ditahan pada jarak lebih kurang 81 batu nautika atau 150 kilometer daripada Muara Tok Bali semalam oleh Bot Penyelamat 7 dalam keadaan laut bergelora.
“KM Tok Bali dan Bot Penggalang 18 telah digerakkan untuk memberi bantuan dan apabila tiba di lokasi kejadian, awak-awak Vietnam yang cedera parah didapati telah mati dan mayat dibawa ke hospital Tengku Anis untuk tindakan lanjut.
“Pemeriksaan mendapati, bot pertama Vietnam mempunyai 16 awak-awak termasuk tekong manakala bot kedua mempunyai tiga awak-awak termasuk tekong. Ini menjadikan jumlah keseluruhan yang ditahan 19 orang termasuk yang mati.

“Kedua-dua bot tidak memiliki permit menangkap ikan di bawah Akta Perikanan 1985 dan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” tambah kenyataan itu lagi.
Difahamkan, nilai keseluruhan rampasan termasuk bot, hasil tangkapan dan diesel beranggaran sekitar RM2 juta, manakala kedua-dua bot dan 18 awak-awak ditahan termasuk satu yang matu dibawa masuk ke Jeti Maritim Negeri Kelantan.
Kes akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a), Akta Perikanan 1985 yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM6 juta ke atas tekong dan RM 600 ribu ke atas awak-awak serta Akta Imigresen 1959/1963, Seksyen 6(1)(c) yang boleh membawa kepada denda RM10 ribu atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya serta boleh dikenakan sebatan tidak lebih daripada enam sebatan.
Selain itu, APMM juga akan menyiasat dan menuduh awak-awak di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.





Sumber: APMM