Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Serangan Siber Sasar 178 Laman Web, Ikea Dan Apple Antara Nama Terkait

IKEA
Kredit: AFP

Laman web 'popular' termasuk Ikea dan Zoom menjadi sasaran serangan siber yang dipercayai bertujuan mencuri wang serta menjangkiti peranti iPhone pengguna.

Serangan itu menyasarkan sebanyak 178 laman web daripada pelbagai sektor menerusi kod JavaScript berniat jahat yang disuntik melalui Optimizely, iaitu platform pengoptimuman laman web.

Optimizely mengesahkan insiden tersebut pada Selasa dan memaklumkan bahawa kesannya telah dikenal pasti serta berjaya dikawal.

Menurut syarikat itu, laluan yang terdedah telah disekat, kod yang disuntik telah dibuang dan pelanggan yang terlibat telah dihubungi secara langsung.

Penyelidik teknologi Britain, Scott Helme, berkata skrip berkenaan dipercayai cuba menggantikan alamat pembayaran mata wang kripto dengan alamat milik penyerang.

Menurutnya, penggodam turut cuba mendapatkan maklumat kad pembayaran ketika pengguna memasukkannya, selain mencuri kuki serta tangkap layar daripada peranti pengguna.

Ikea dan Salesforce memaklumkan bahawa mereka sedang menyiasat insiden berkenaan, manakala skrip pada platform Salesforce telah dilumpuhkan sebagai langkah berjaga jaga.

HSBC pula berkata tiada skrip tanpa kebenaran sedang aktif pada laman webnya.

Apple, Zoom dan CNN bagaimanapun tidak segera memberikan maklum balas terhadap permintaan untuk mendapatkan komen berhubung insiden tersebut.

Platform keselamatan siber global Elastic berkata kejadian itu menunjukkan bagaimana penjenayah siber boleh menyembunyikan kod berniat jahat dalam perkhidmatan yang dipercayai dan digunakan oleh organisasi.

Ketua seni bina penyelesaian keselamatan Elastic bagi Australia dan New Zealand, Brent Sargent, berkata serangan seperti itu boleh dilancarkan dalam tempoh beberapa saat.

Menurutnya, penyerang tidak perlu menceroboh setiap laman web secara berasingan kerana mereka hanya perlu menanam kod dalam satu perkhidmatan yang dipercayai dan digunakan oleh banyak laman web.

“Serangan ini mengikut corak tersebut. Mereka tidak perlu menceroboh setiap laman web, sebaliknya menanam kod dalam satu perkhidmatan dipercayai yang digunakan oleh kesemuanya sehingga ia kelihatan seperti kandungan laman web biasa,” katanya.

Beliau berkata syarikat perlu mengetahui fungsi sebenar perisian yang dipercayai mereka gunakan dan bukan sekadar bergantung kepada status kelulusan perisian berkenaan.

Dalam pada itu, insiden tersebut berlaku ketika beberapa gangguan berkaitan siber turut dilaporkan melibatkan fungsi penting kerajaan dan sektor swasta sejak minggu lalu.

Antaranya termasuk gangguan sistem pada Jumaat yang menyebabkan operasi penerbangan di Amerika Syarikat terhenti buat sementara waktu.

Dalam perkembangan berasingan, rangkaian dalaman terkelas Agensi Keselamatan Negara Amerika Syarikat atau NSA yang dikenali sebagai NSANet turut mengalami gangguan.

Menurut pegawai pertahanan yang tidak dibenarkan bercakap secara terbuka mengenai perkara itu, gangguan tersebut menjejaskan operasi rangkaian dalaman yang digunakan kakitangan NSA.

NSA dalam satu kenyataan bagaimanapun memaklumkan gangguan berkenaan berlaku ketika penyelenggaraan rutin yang telah dijadualkan.

“Walaupun beberapa sistem dalaman terjejas, keupayaan penting misi kekal beroperasi sepenuhnya dan keupayaan kami untuk mempertahankan keselamatan negara terus berjalan,” menurut kenyataan itu.

NSA turut menjelaskan bahawa infrastrukturnya direka dengan beberapa lapisan sistem sokongan bagi memastikan operasi dapat diteruskan ketika penyelenggaraan dirancang atau berdepan kejadian tidak dijangka.

Gangguan terhadap NSANet itu pada mulanya dilaporkan oleh CNN.

Intipati
  • Serangan siber menyasarkan 178 laman web melalui kod JavaScript berniat jahat pada Optimizely.
  • Skrip itu dipercayai cuba mencuri pembayaran kripto, maklumat kad, kuki dan tangkap layar.
  • Optimizely berkata kesan insiden dikenal pasti, dikawal, dan pelanggan terlibat telah dihubungi.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan