Menjelang pembukaan perkhidmatan RTS Link, Stesen Bukit Chagar kini memperlihatkan wajahnya yang moden dan elegan dengan pelbagai kemudahan disediakan untuk kegunaan penumpang.
Sebagai hab pengangkutan awam yang mengintegrasikan pelbagai kemudahan moden, Stesen Bukit Chagar bukan sahaja direka bagi melancarkan pergerakan penumpang, malah dijangka memberi manfaat kepada perkembangan ekonomi di kawasan sekitar.
Pandang pertama fasiliti di RTS Link Stesen Bukit Chagar
Kehadiran RTS Link juga dilihat mampu mengukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan Singapura, khususnya dari aspek perhubungan dan mobiliti harian antara kedua-dua negara.
Berdasarkan perkongsian RTS Link JB-SG di Facebook, beberapa fasiliti di stesen berkenaan sudah tersedia sebagai sebahagian daripada persediaan untuk perjalanan penumpang bersama RTS Link.
Pengimbas keselamatan sudah tersedia
Antara kemudahan yang disediakan ialah pengimbas keselamatan bagi pemeriksaan penumpang sebelum meneruskan perjalanan.
Kemudahan pemeriksaan itu turut mempunyai lorong khusus untuk penumpang yang tidak membawa bagasi serta mereka yang membawa bagasi bersaiz besar bagi melancarkan proses pemeriksaan.

Langkah berkenaan sekali gus dapat membantu memastikan urusan pemeriksaan berjalan dengan lebih teratur dan lancar.
Bilik penyusuan untuk ibu dan bayi
Tidak hanya memberi perhatian kepada aspek keselamatan, keperluan ibu dan bayi turut diambil kira apabila sebuah bilik penyusuan disediakan di Stesen Bukit Chagar.
Ruang tersebut menawarkan tempat yang lebih selesa dan privasi kepada ibu untuk menyusukan bayi serta menguruskan keperluan si kecil sepanjang perjalanan.

Pelbagai kemudahan untuk penumpang
Selain itu, Stesen Bukit Chagar turut dilengkapi kemudahan seperti ruang solat, tandas mesra akses, lif dan kaunter informasi.
Kemudahan berkenaan disediakan bagi memudahkan urusan penumpang daripada saat tiba di stesen sehingga meneruskan perjalanan ke destinasi.

Kafe dan ruang niaga turut disediakan
Bukan sekadar kemudahan untuk perjalanan, Stesen Bukit Chagar turut menyediakan ruang niaga yang bakal menempatkan pelbagai perniagaan termasuk makanan dan minuman serta peruncitan.
Kiosk berwarna hijau yang disediakan di stesen itu dijangka menawarkan pelbagai pilihan kepada penumpang sama ada untuk mendapatkan secawan kopi sebelum meneruskan perjalanan, membeli makanan ringan atau menikmati pengalaman membeli-belah.

Kehadiran ruang niaga ini juga dijangka menambah pilihan kepada penumpang untuk mendapatkan keperluan harian tanpa perlu keluar jauh dari kawasan stesen.
Secara keseluruhannya, persediaan di Stesen Bukit Chagar kini semakin memperlihatkan gambaran perjalanan yang bakal dinikmati pengguna RTS Link.
Dengan reka bentuk yang moden serta pelbagai kemudahan termasuk ruang pemeriksaan keselamatan, bilik penyusuan, ruang solat, tandas mesra akses, lif, kaunter informasi dan ruang niaga, Stesen Bukit Chagar dilihat semakin bersedia untuk menjadi sebahagian daripada pengalaman perjalanan merentas Malaysia dan Singapura.

