Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Shamsul Iskandar Didakwa Atas Empat Tuduhan Rasuah
KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) — Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan rasuah berjumlah RM176,829.03 melibatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Shamsul Iskandar @ Yusre Mohd Akin, 50, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan satu persatu di hadapan Hakim Suzana Hussin.
“Faham (pertuduhan), tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan,” katanya dengan nada tenang.
Shamsul Iskandar, ketika itu Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, didakwa menerima suapan secara rasuah bagi dirinya sendiri iaitu wang tunai berjumlah RM100,000 daripada ahli perniagaan Albert Tei Jiann Cheing, 37, di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin, Kuala Lumpur pada 24 Nov 2023.
Shamsul Iskandar juga didakwa menerima suapan wang tunai RM40,000 daripada Tei bagi tujuan sama di sebuah premis di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, pada 29 Jan 2024.
Beliau turut didakwa atas dua lagi pertuduhan menerima suapan berbentuk kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM14,580.03 dan RM22,249 daripada individu sama bagi tujuan serupa.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di premis di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, antara 7 Dis 2023 dan 31 Jan 2024, serta di Jalan P14a 1/1, Presint 14, Putrajaya, antara 26 Feb dan 5 Mac 2024.
Seksyen itu menetapkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Hakim Suzana menetapkan 8 Jan tahun depan sebagai tarikh sebutan kes dan membenarkan jaminan RM150,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia.
Mahkamah turut mengenakan tiga syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM berhampiran kediaman sebulan sekali, menyerahkan pasport sehingga kes selesai, dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
“Mahkamah turut menetapkan tiga syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM berhampiran kediaman sebulan sekali, pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan tidak mengganggu saksi pendakwaaan,” kata hakim itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib, Farah Ezlin Yusop Khan dan Nurul Qistini Qamarul Abrar manakala Shamsul Iskandar diwakili peguam Datuk Amer Hamzah Arshad, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff dan Joshua Tay.
BERITA LANJUT MENYUSUL
Sumber: BERNAMA