Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Shinzo Abe Sedang Bertarung Nyawa, Dalam Keadaan Kritikal – PM Jepun

shinzo abe kritikal
Gambar: Yomiuri Shimbun / AFP

Shinzo Abe Sedang Bertarung Nyawa, Dalam Keadaan Kritikal – PM Jepun

Bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe yang ditembak pagi tadi ketika sedang memberi ucapan di tepi jalan di Nara dilaporkan sedang bertarung nyawa ketika ini, dedah Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida yang menyifatkan serangan tersebut sebagai tidak boleh dimaafkan.

Serangan tersebut mengejutkan ramai pihak memandangkan Jepun mempunyai undang-undang yang ketat mengenai pemilikan senjata api. Abe ketika kejadian dipercayai sedang berkempen menjelang pemilihan Upper House Ahad ini.

”Shinzo Abe dilapor ditembak di Nara dan saya difahamkan beliau berada dalam situasi kritikal ketika ini. Saya berdoa supaya beliau dapat diselamatkan.

”Ia adalah satu tindakan yang tidak bertamadun apatah lagi dibuat ketika beliau sedang berkempen, iaitu asas kepada sebuah demokrasi dan perbuatan ini tidak boleh dimaafkan. Saya mengutuk sekeras-kerasnya serangan ini,” kata beliau.

Kishida bagaimanapun menyatakan ‘tiada keputusan’ yang dibuat masa ini berkenaan tempoh berkempen, biarpun beberapa pemimpin senior parti politik Jepun dilapor akan menangguhkan aktiviti kempen masing-masing buat sementara waktu susulan serangan tersebut.

Seorang lelaki dipercayai penyerang dilaporkan berjaya ditahan oleh pengiring peribadi Abe dan kini dalam tahanan pihak berkuasa.

Media tempatan melaporkan bahawa lelaki berkenaan berusia pertengahan 40-an dan sumber polis pula mendedahkan bahawa penyerang pernah berkhidmat dengan Tentera Laut Pasukan Pertahanan Diri Jepun (JSDF Navy).

Ketika ditahan, penyerang dilaporkan memegang sepucuk senjata api yang kelihatan seperti buatan sendiri, lapor media tempatan lagi. NHK pula melaporkan lelaki berkenaan memberitahu polis bahawa dia menyerang Abe dengan niat untuk membunuh.

Sumber: AFP