PUTRAJAYA, 20 Julai – Dokumentari kontroversi terbitan agensi berita antarabangsa, Aljazeera baru-baru ini diterbitkan tanpa lesen sah.
Perbadan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menerusi satu kenyataan memaklumkan, syarikat berkenaan tidak mempunyai Lesen Pengeluaran Filem.
“Tiada (juga) permohonan Surat Perakuan Penggambaran bagi penggambaran dokumentari tersebut.
“FINAS akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan siasatan terhadap Al Jazeera (M) International Sdn. Bhd.,” lapor kenyataan itu, hari ini.
Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 22 (1), Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Pindaan 2013) kerana menjalankan aktiviti perfileman iaitu pengeluaran filem dokumentari tanpa lesen sah daripada FINAS.
Mengimbas kembali, dokumentari berjudul Locked Up in Malaysia’s Lockdown itu didakwa memaparkan beberapa fakta yang salah dan mengelirukan, sekaligus dikatakan memberi imej buruk terhadap negara.

