PUTRAJAYA, 19 Nov (Bernama) -- Ujian simulasi sistem amaran kecemasan negara (EWS) akan dijalankan di kawasan Bangunan Parlimen pada 23 Nov ini, sebelum ujian itu dilaksanakan secara serentak di seluruh negara pada 29 Nov.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan melaksanakan hebahan menerusi Khidmat Pesanan Masyarakat (PSA) bagi memberi penerangan mengenai bentuk mesej serta bunyi amaran yang bakal diterima pengguna telefon bimbit.
Beliau berkata ujian simulasi itu diadakan bertujuan untuk memastikan orang ramai memahami bahawa notifikasi berkenaan merupakan sebahagian daripada proses pengujian sistem dan bukan amaran kecemasan sebenar.
“Kita juga akan minta supaya mesej ataupun khidmat pesanan masyarakat ini disampaikan dalam semua pawagam, di semua TV dan radio, dan kita juga akan bekerjasama dengan pempengaruh dan platform seperti TikTok untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pelaksanaan sistem amaran awal ataupun EWS,” katanya kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi bagi November, di sini hari ini.
Fahmi berkata pelaksanaan EWS tidak memerlukan pengguna memuat turun atau memasang sebarang aplikasi kerana sistem itu akan berkomunikasi secara terus dengan telefon bimbit yang menyokong penerimaan amaran berkenaan.
Beliau berkata sistem itu berfungsi sebagai pelengkap kepada kaedah penyampaian amaran sedia ada, termasuk khidmat pesanan ringkas (SMS) dan siren yang dipasang di sepanjang sungai oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Untuk telefon bimbit lama, mereka masih akan menerima SMS, tetapi bagi telefon lebih baharu, penerimaan maklumat adalah melalui EWS yang akan dikeluarkan sebagai mesej pop-up.
“Kita tidak perlu memasang atau memuat turun apa-apa aplikasi kerana sistem ini akan berkomunikasi terus dengan telefon bimbit dan bukan melalui SMS,” katanya.
Fahmi berkata EWS bukan sahaja boleh dimanfaatkan bagi menyampaikan amaran bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan gempa bumi, malah berpotensi digunakan bagi tujuan keselamatan dan ketenteraman awam.
Beliau berkata sistem itu boleh digunakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menyampaikan maklumat penting kepada orang ramai, termasuk berkaitan kehilangan individu atau kanak-kanak.
“Contoh, sekiranya dikesan di satu kawasan, seorang individu hilang, tak dapat dikesan dan ingin dimaklumkan mengenai kejadian tersebut ataupun kanak-kanak yang hilang, ini diamalkan di beberapa negara lain, jadi mereka memanfaatkan maklumat atau sistem penyampaian maklumat yang sama.
“Jadi kita nampak untuk bencana alam, termasuk banjir, tanah runtuh, gempa bumi, ini boleh ada pemakluman. Bagi isu-isu keselamatan dan ketenteraman awam juga, (EWS) boleh dimanfaatkan.
“EWS ini bersifat berasaskan lokasi geografi. Jika ia berlaku di satu kawasan, maka maklumat itu akan sampai kepada semua yang berada dalam kawasan itu, tapi siaran itu adalah lebih berbentuk umum. Jadi mungkin tempat-tempat yang tak terkesan pun akan dapat,” katanya.
Mengulas penyebaran mesej amaran banjir menerusi WhatsApp baru-baru ini, Fahmi menjelaskan bahawa mesej berkenaan bukan sebahagian daripada pelaksanaan EWS kerana sistem itu menggunakan paparan pop-up dan bukannya SMS atau WhatsApp.

