Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Sistem Pengesahan Hologram KKM Berfungsi Dengan Baik, Ekosistem Keselamatan Produk Kesihatan Terkawal
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil serius laporan media berhubung kebimbangan mengenai lambakan produk kesihatan tidak sah serta dakwaan bahawa mekanisme pengesahan label hologram KKM tidak lagi berfungsi.
KKM menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak tepat dan tidak mencerminkan keadaan sebenar sistem kawal selia sedia ada.
Menurut KKM, Sistem pengesahan ketulenan label keselamatan (label hologram) masih berfungsi dengan baik dan kekal menjadi salah satu komponen utama dalam ekosistem kawal selia Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).
Sistem ini disokong oleh pemantauan menyeluruh merangkumi pendaftaran produk, pelesenan, serta audit rantaian bekalan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pengguna terus terjamin.
Sebagai usaha penambahbaikan dan pendigitalan, KKM turut memaklumkan bahawa aplikasi MyUBAT telah dinaik taraf sebagai platform tunggal bagi semakan ketulenan label keselamatan.
Aplikasi tersebut kini boleh mengimbas semua versi label hologram KKM, termasuk versi lama dan terkini.
Selain itu, pengesahan juga boleh dilakukan di farmasi berlesen yang mempunyai peralatan pengesahan khusus yang dibekalkan oleh KKM.
“KKM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan penguatkuasaan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran produk tidak berdaftar atau aktiviti pemalsuan label keselamatan," menurut kenyataan KKM.
Orang awam disarankan agar mendapatkan produk kesihatan hanya di premis sah, menggunakan aplikasi MyUBAT untuk semakan, serta melaporkan sebarang keraguan kepada pihak berkuasa.
KKM memberi jaminan bahawa ekosistem keselamatan produk kesihatan di pasaran kekal kukuh dan sentiasa dipantau rapi.