KUALA LUMPUR, 12 NOVEMBER 2026 – SK intellix Malaysia membuka pratempahan bagi SK magic MAGICOOL, penyaman udara inverter pertama di bawah jenama miliknya sendiri.
Seiring dengan pelancaran tersebut, syarikat turut memperkenalkan Kalkulator Sejuk Hati, sebuah alat digital yang membantu pengguna memahami penggunaan elektrik di rumah serta menganggarkan potensi penjimatan bil elektrik melalui penggunaan penyaman udara yang lebih cekap tenaga.
MAGICOOL ditawarkan dalam dua pilihan kapasiti, iaitu 1.0HP dan 1.5HP, yang kedua-duanya menerima penarafan kecekapan tenaga lima bintang mengikut piawaian baharu 2026.
Model 1.0HP mencatatkan Faktor Prestasi Bermusim Penyejukan (CSPF) sebanyak 7.02, manakala model 1.5HP mencatatkan 6.68.
Pratempahan SK magic MAGICOOL Dibuka

CSPF (Cooling Seasonal Performance Factor) merupakan indeks kecekapan tenaga yang mengukur keupayaan penyaman udara menghasilkan penyejukan berbanding penggunaan elektrik.
Nilai CSPF yang lebih tinggi menunjukkan penggunaan tenaga yang lebih cekap, sekali gus berpotensi membantu mengurangkan kos elektrik.
Dari segi ciri dan teknologi, MAGICOOL dilengkapi dengan sistem penapisan udara enam peringkat, teknologi plasma sejuk Hi-Magic serta fungsi pembersihan kendiri Magic Clean, yang direka untuk membantu mengekalkan kebersihan udara dan prestasi unit secara optimum.
Pakej sewaan lima tahun yang ditawarkan turut merangkumi pemasangan, penanggalan penyaman udara sedia ada serta servis penyelenggaraan berjadual bagi unit dalaman dan luaran, termasuk cucian kimia.
Pada masa yang sama, Kalkulator Sejuk Hati diperkenalkan bagi memudahkan pengguna membuat anggaran kos penggunaan penyaman udara berdasarkan keperluan kediaman masing-masing.

Menerusi aplikasi berasaskan web ini, pengguna hanya perlu memasukkan maklumat penyaman udara sedia ada, saiz bilik serta tempoh penggunaan harian untuk mendapatkan anggaran kos elektrik semasa dan potensi penjimatan dalam bentuk nilai ringgit sekiranya beralih kepada MAGICOOL.
Menurut Pengarah Urusan SK intellix Malaysia, Andy Kim Jajoong, pelancaran MAGICOOL menandakan satu langkah penting dalam perkembangan syarikat sebagai penyedia penyelesaian gaya hidup dan peralatan rumah.
“MAGICOOL merupakan penyaman udara pertama yang diperkenalkan di bawah jenama kami sendiri untuk pasaran Malaysia, disokong oleh kepakaran serta rangkaian khidmat selepas jualan yang telah kami bangunkan selama ini.
“Sempena pembukaan pratempahan ini, kami mahu pengguna bukan sahaja mempertimbangkan aspek keselesaan, malah memahami kesan penggunaan penyaman udara terhadap bil elektrik bulanan mereka.

“Atas sebab itu, kami memperkenalkan Kalkulator Sejuk Hati sebagai alat yang mudah digunakan untuk membantu pengguna membuat anggaran potensi penjimatan sebelum membuat keputusan pembelian.
“Kami percaya pengguna perlu yakin bahawa setiap perbelanjaan yang dibuat memberikan nilai yang sewajarnya, di samping menikmati tahap keselesaan yang diharapkan daripada sebuah penyaman udara moden,” katanya.
Bersempena dengan pembukaan pratempahan, SK intellix menawarkan ganjaran eksklusif kepada pelanggan terawal.
Seramai 500 pelanggan pertama yang layak membuat pratempahan MAGICOOL berpeluang memenangi kredit tambah nilai Touch ’n Go eWallet bernilai RM200, tertakluk pada terma dan syarat kempen.

Pratempahan MAGICOOL dibuka mulai 12 November 2026, selagi stok masih ada.
Pelanggan boleh membuat pratempahan menerusi laman web rasmi SK magic di www.skmagic.com.my/airconditioner/MAGICOOL, kedai dan kiosk SK magic yang mengambil bahagian atau ejen jualan sah SK magic di seluruh negara.
Pengguna bagaimanapun diingatkan bahawa pengiraan yang dipaparkan melalui Kalkulator Sejuk Hati hanyalah anggaran.
Jumlah bil elektrik sebenar adalah bergantung kepada corak penggunaan, keadaan serta kecekapan peralatan elektrik sedia ada, selain kadar tarif elektrik yang berkuat kuasa.

