Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Skim Bantuan Kebajikan & Pendidikan JHEV Untuk Anak-Anak Veteran ATM
Pendidikan merupakan antara aspek terpenting dalam kehidupan setiap keluarga kerana ia menjadi asas kepada masa depan anak-anak. Namun, peningkatan kos persekolahan dan pengajian tinggi dari tahun ke tahun sering menjadi cabaran kepada sebahagian ibu bapa terutamanya mereka yang berdepan kekangan kewangan.
Menyedari hakikat tersebut, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM menyediakan Skim Bantuan Kebajikan & Pendidikan bagi membantu meringankan beban perbelanjaan pendidikan anak-anak veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang layak.
Inisiatif ini merupakan salah satu usaha berterusan kerajaan dalam menghargai jasa dan pengorbanan anggota tentera yang pernah berkhidmat menjaga keselamatan negara.
Kewujudan bantuan ini memberi kelegaan kepada keluarga veteran dalam menghadapi kos pendidikan yang semakin meningkat. Ia juga membuka ruang kepada anak-anak untuk meneruskan pengajian dengan sokongan kewangan yang lebih baik.
Skim Bantuan Kebajikan & Pendidikan JHEV ATM merupakan bantuan khas yang diwujudkan bagi membantu veteran ATM serta tanggungan mereka yang memerlukan sokongan kewangan dalam aspek pendidikan. Bantuan ini merangkumi dua kategori utama iaitu Bantuan Persekolahan dan Bantuan Kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Melalui skim ini, JHEV berharap dapat memastikan anak-anak veteran terus mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti serta mampu meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi tanpa berdepan beban kewangan yang terlalu besar. Bantuan yang diberikan juga dilihat sebagai satu bentuk penghargaan kepada keluarga veteran yang telah banyak berkorban demi negara.

Di bawah skim ini, dua bentuk bantuan pendidikan disediakan bagi membantu anak-anak veteran ATM meneruskan pembelajaran mereka iaitu:
Bagi keluarga veteran yang mempunyai anak yang masih bersekolah, bantuan persekolahan disediakan untuk membantu menampung pelbagai perbelanjaan berkaitan sesi pembelajaran.
Kos seperti pembelian pakaian sekolah, kasut, alat tulis, buku latihan, yuran aktiviti sekolah dan keperluan harian pelajar sering kali memerlukan peruntukan yang besa. Terutamanya bagi keluarga yang mempunyai ramai anak yang masih belajar.
Menerusi bantuan ini, kadar yang diberikan adalah sebanyak RM500 setahun bagi murid sekolah rendah manakala pelajar sekolah menengah dan Kolej Vokasional Kebangsaan layak menerima bantuan sebanyak RM700 setahun.
Walau bagaimanapun, bantuan ini hanya diberikan kepada seorang anak bagi setiap keluarga dalam tahun semasa. Keutamaan biasanya diberikan kepada keluarga veteran yang berada dalam kategori berpendapatan rendah dan memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh pihak JHEV.
Selain membantu anak-anak yang masih bersekolah, JHEV turut menyediakan bantuan khas untuk anak veteran yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Bantuan ini bertujuan membantu menampung kos awal kemasukan ke IPT yang lazimnya melibatkan pelbagai perbelanjaan seperti yuran pendaftaran, pembelian komputer riba, buku rujukan, pengangkutan dan kos penginapan.
Bagi pelajar yang mengikuti pengajian di peringkat Diploma, bantuan yang diberikan adalah sebanyak RM1,000 secara sekali bayar. Sementara itu, pelajar yang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda pula layak menerima bantuan sebanyak RM1,500 secara sekali bayar.
Bantuan ini dapat membantu meringankan beban ibu bapa ketika fasa awal kemasukan ke IPT yang sering memerlukan perbelanjaan yang agak tinggi. Pada masa yang sama, ia menjadi dorongan kepada anak-anak veteran untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik dan membina masa depan yang lebih baik.
Bagi memastikan bantuan diberikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan, pemohon perlu memenuhi syarat-syarat berikut:
Syarat veteran ATM
Bekas anggota tetap Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Bekas Tentera British yang pernah berkhidmat di Malaya, Malaysia atau Singapura termasuk Ranger Sarawak.
Bekas ahli Pasukan 136.
Bekas anggota Askar Wataniah yang pernah dikerah untuk perkhidmatan sepenuh masa.
Veteran ATM atau tanggungan yang mempunyai pendapatan bulanan di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) semasa.
Tidak diberhentikan daripada perkhidmatan atas kesalahan tatatertib.
Syarat anak veteran ATM
Anak yatim veteran ATM.
Berumur di bawah 18 tahun.
Masih mengikuti persekolahan di institusi pendidikan yang diiktiraf.
Bantuan ini diberikan kepada anak veteran ATM yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi dan memenuhi syarat berikut:
Syarat veteran ATM
Bekas anggota tetap Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Bekas Tentera British yang pernah berkhidmat di Malaya, Malaysia atau Singapura termasuk Ranger Sarawak.
Bekas ahli Pasukan 136.
Bekas anggota Askar Wataniah yang pernah dikerah untuk perkhidmatan sepenuh masa.
Tidak diberhentikan daripada perkhidmatan atas kesalahan tatatertib.
Syarat anak veteran ATM
Berumur tidak melebihi 23 tahun ketika pendaftaran atau kemasukan ke IPT.
Mengikuti pengajian secara sepenuh masa.
Menyambung pengajian di peringkat Diploma atau Ijazah Sarjana Muda pertama.
Pengajian mestilah di institusi pengajian tinggi dalam negara.
Setiap anak hanya layak menerima bantuan sekali sahaja sama ada di peringkat Diploma atau Ijazah Sarjana Muda.
Walaupun bantuan ini ditawarkan kepada anak-anak veteran ATM yang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, terdapat beberapa kategori pengajian yang tidak layak dipertimbangkan.
Antaranya ialah program pengajian yang dijalankan di institusi luar negara, kursus atau program profesional serta kursus berbentuk latihan yang menerima pembiayaan penuh daripada kerajaan.
Oleh itu, pemohon disarankan untuk menyemak terlebih dahulu kelayakan program pengajian yang diikuti bagi memastikan ia memenuhi syarat yang ditetapkan oleh pihak JHEV.
Bagi memastikan permohonan dapat diproses dalam tahun semasa, pemohon perlu mengemukakan permohonan sebelum atau pada 30 September setiap tahun.
Permohonan yang diterima selepas tarikh tersebut masih boleh dipertimbangkan. Namun proses penilaian dan pembayaran bantuan kebiasaannya akan dibawa ke tahun berikutnya tertakluk kepada peruntukan serta peraturan kewangan yang sedang berkuat kuasa.
Oleh itu, pemohon disarankan untuk membuat permohonan lebih awal bagi mengelakkan sebarang kelewatan dan memastikan bantuan dapat diterima dalam tempoh yang ditetapkan.
Bagi memudahkan urusan pemohon, JHEV menyediakan dua kaedah permohonan yang boleh dipilih mengikut kesesuaian masing-masing.
1. Permohonan secara dalam talian
Bagi pemohon yang ingin membuat permohonan secara digital, permohonan boleh dikemukakan melalui Portal VIBES 2.0 JHEV ATM. Pemohon perlu terlebih dahulu mendaftar akaun atau log masuk ke sistem sekiranya telah mempunyai akaun sedia ada.
Seterusnya, lengkapkan semua maklumat yang diperlukan dalam borang permohonan dan muat naik dokumen sokongan yang berkaitan sebelum menghantar permohonan untuk tujuan semakan dan pertimbangan oleh pihak JHEV.
2. Permohonan secara manual
Selain permohonan dalam talian, pemohon juga boleh memilih kaedah manual. Permohonan boleh dibuat dengan memuat turun Borang Skim Bantuan Kebajikan JHEV melalui portal rasmi JHEV dan melengkapkan semua maklumat yang diperlukan.
Setelah borang diisi dengan lengkap, pemohon perlu menyertakan dokumen sokongan yang berkaitan sebelum menghantar borang tersebut ke Pejabat JHEV Cawangan Negeri yang berhampiran untuk diproses.
Kesimpulannya, Skim Bantuan Kebajikan & Pendidikan JHEV ATM membuktikan komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan veteran tentera dan keluarga mereka, khususnya dalam aspek pendidikan. Melalui bantuan persekolahan dan bantuan kemasukan IPT yang disediakan, keluarga veteran berpeluang mengurangkan beban kewangan yang perlu ditanggung bagi memastikan anak-anak dapat meneruskan pendidikan dengan lebih selesa.
Bagi veteran ATM yang memenuhi syarat kelayakan, peluang ini wajar dimanfaatkan sebaik mungkin kerana ia dapat membantu meringankan beban kewangan berkaitan pendidikan anak-anak.
Selain itu, bantuan yang disediakan turut menjadi sokongan penting dalam melahirkan generasi yang berilmu, berkemahiran serta berupaya menyumbang kepada pembangunan negara pada masa hadapan.