Rasa terkilan sesetengah perwakilan terhadap gurauan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika Ucapan Penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tempoh hari mendapat perhatian anaknya, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid.
Nurulhidayah berkata, secara peribadi beliau percaya dan yakin bapanya mungkin sekadar bergurau serta tidak berniat untuk merendahkan sesiapa, namun mengakui gurauan yang terlepas boleh memberi kesan berbeza kepada individu yang mendengarnya.
“Secara peribadi, saya percaya dan amat yakin, YAB Presiden UMNO mungkin berniat untuk bergurau (overwhelmed) dan tidak bermaksud merendahkan sesiapa tetapi kadang-kadang gurauan yang terlepas boleh memberi kesan yang berbeza kepada orang yang mendengarnya,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Beliau yang juga Exco Wanita UMNO berkata, beliau bersetuju bahawa soal fizikal atau usia seseorang tidak sepatutnya dijadikan bahan gurauan, terutama apabila perkara itu boleh mengguris hati anggota Wanita UMNO.
“Saya sangat setuju, soal fizikal atau usia seseorang tidak sepatutnya dijadikan bahan gurauan, lebih-lebih lagi apabila ia boleh mengguris hati ramai Wanita,” katanya.
Dalam hantaran sama, Nurulhidayah turut memuat naik gambar bersama Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad yang mesra disapa sebagai Kak Ani.
Menurutnya, luahan dalam kalangan Wanita UMNO supaya tidak memandang kecil terhadap “jentera nenek-nenek” juga wajar diberi perhatian.
“Satu perkara yang saya juga sangat setuju dengan luahan dalam kalangan Wanita UMNO adalah, jangan sesekali pandang kecil pada ‘jentera nenek-nenek’ ini.
“Perkataan nenek mungkin agak sensitif kerana ia melambangkan tidak berdaya lagi untuk berkhidmat atau memimpin. Kalau atuk-atuk masih boleh memimpin, kenapa tidak nenek-nenek?” katanya.
Nurulhidayah berkata, golongan berkenaan merupakan antara tulang belakang UMNO yang paling setia serta terus turun padang ketika susah dan senang tanpa banyak meminta.
Malah, beliau turut menyampaikan permohonan maaf secara terbuka sekiranya gurauan berkenaan mengguris hati Noraini secara peribadi.
“Jika ada yang terasa hati, terutamanya Kak Ani (Noraini) sendiri secara peribadi, dengan rasa rendah diri dan terbuka, sebagai seorang anak, saya mohon maaf atas keterlanjuran kata-kata atau gurauan beliau di atas pentas PAU semalam.
“Saya sendiri ambil yang baik daripada teguran ini dan berjanji akan terus jaga hati sesama kita,” katanya.

