Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) melalui laman sosial rasmi hari ini mengeluarkan sebuah kenyataan berkait isu salah laku integriti melibatkan calon Peperiksaan Memasuki Perkhidmatan Awam (PSEE).
SPA dalam kenyataan tersebut memaklumkan, masih terdapat lagi calon yang tidak bertanggungjawab semasa menduduki PSEE, menurut hasil pemantauan dan siasatan yang dilaksanakan pihak mereka.
“Terkini, SPA telah mengenal pasti calon yang melakukan salah laku integriti dengan mewujudkan kumpulan tertentu dalam platform media sosial seperti WhatsApp dan Telegram.
“Ia bertujuan untuk menawarkan perkhidmatan berbayar penyediaan jawapan atau bersubahat melakukan aktiviti peniruan dan perkongsian jawapan bagi tujuan lulus PSEE,” jelas SPA dalam satu kenyataan hari ini.
Perkara ini dipandang serius oleh pihak SPA dan tindakan tegas telah diambil dengan membatalkan keputusan peperiksaan dan menyenaraihitamkan calon yang terlibat. Tambah suruhanjaya berkenaan, permohonan calon berkenaan bagi sebarang jawatan juga tidak akan dipertimbangkan.
Jika anda mempunyai sebarang aduan salah laku integriti yang berkaitan, aduan boleh disalurkan kepada Unit Integriti SPA Malaysia atau melalui Sistem ePertanyaan SPA di pautan ini.

Sumber: SPA
