Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

SPRM Tahan Pengarah Syarikat Dipercayai Rasuah Penjawat Awam
MELAKA, 22 Jan (Bernama) — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengarah sebuah syarikat kerana disyaki memberi rasuah kepada penjawat awam di beberapa jabatan kerajaan di Melaka bagi pelaksanaan kerja-kerja perolehan melibatkan nilai keseluruhan berjumlah RM639,104.
Pengarah SPRM Melaka Mohd Shahril Che Saad berkata suspek lelaki berusia 60-an itu ditahan ketika hadir ke Pejabat SPRM Melaka kira-kira 12 tengah hari tadi bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
“Penahanan dibuat ekoran suspek dipercayai merasuah penjawat awam di pelbagai jabatan kerajaan di Melaka sekitar tahun 2021 hingga 2023 dengan membayar belasan hingga puluhan ribu ringgit wang rasuah bagi memastikan kerja-kerja pembekalan.
“SPRM juga tidak menolak kemungkinan akan memanggil beberapa penjawat awam pelbagai jabatan untuk memberi kerjasama bagi membantu siasatan lanjut kes berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata rantaian kartel rasuah melibatkan jabatan kerajaan perlu dinoktahkan bagi mengelak kerja-kerja monopoli projek pembekalan di jabatan kerajaan negeri Melaka terus berlaku.
Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009 dan suspek akan dibawa ke mahkamah esok bagi mendapatkan kebenaran permohonan reman.
Sumber: BERNAMA