CYBERJAYA, 3 Dis – Pelajar yang menghadapi kesukaran mendapatkan liputan internet untuk menjalani kelas online diseru memanfaatkan kemudahan 873 cawangan Pusat Internet Komuniti (PIK) di seluruh negara.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan berkata, seruan tersebut dibuat berikutan tular kes pelajar di Kelantan yang terpaksa belajar dalam khemah di atas bukit di belakang rumahnya akibat pencapaian internet yang lemah sebelum ini.
“Pegawai SKMM telah berjumpa dengan keluarga pelajar serta menjalankan pemantauan di rumah pelajar berkenaan baru-baru ini.
“(SKMM) mengesahkan liputan jalur lebar mudah alih adalah lemah kerana lokasi kedudukan kampung yang agak jauh dari lokasi stesen pemancar sedia ada serta terlindung disebabkan keadaan muka bumi yang berbukit,” kata kenyataan tersebut hari ini.
Sehubungan itu, usaha menyediakan menara pemancar mini dan menambah baik pemancar berdekatan yang terletak 2.5 kilometer dari kampung tersebut kini sedang dijalankan SKMM.
Manakala sebagai alternatif, pelajar-pelajar di kawasan terbabit digesa memanfaatkan kemudahan PIK terdekat seperti PIK Kusial Baharu yang terletak 3.5 kilometer dari rumah pelajar tersebut, selain dipercayai tiada risiko kemalangan.
Untuk rekod, setiap PIK yang disediakan kerajaan dilengkapi dengan 20 unit komputer, liputan Wifi dan ruang berhawa dingin untuk memberi keselesaan kepada penggunanya.
Dalam masa sama, bilik latihan yang selesa dan kondusif juga boleh dikhususkan kepada pelajar-pelajar yang perlu mengambil peperiksaan secara online, kata kenyataan itu lagi.
Lokasi 873 PIK di seluruh negara boleh disemak di laman sesawang https://mycomms.skmm.gov.my.


Sumber: SKMM