Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Suami Isteri Ditahan Berhubung Kes Seleweng Kutipan Zakat Di Perak

Seleweng kutipan zakat
Kredit BERNAMA

Suami Isteri Ditahan Berhubung Kes Seleweng Kutipan Zakat Di Perak

Suami isteri dilapor telah ditahan oleh Polis Perak berhubung kes penyelewengan kutipan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Menurut Sinar Harian, ia melibatkan kutipan zakat sebanyak RM9.62 juta.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata tangkapan itu berjaya dilakukan melibatkan suspek lelaki berusia 50 tahun dan wanita 53 tahun.

Difahamkan, kedua-dua pasangan suami isteri itu telah bertindak sebagai ejen kutipan zakat di negeri tersebut.

“Kedua-dua individu ini ditangkap di sebuah lokasi di Kuala Lumpur sekitar jam 12.35 tengah hari tadi (Jumaat).

“Hasil siasatan awal, suami isteri ini hanya berperanan sebagai ejen kutipan zakat dan bukan kakitangan mana-mana pusat zakat,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Jumaat.

Namun, Mohd Yusri berkata bahawa pihaknya tidak dapat memberikan maklumat terperinci berhubung kes tersebut berikutan masih dalam siasatan polis.

BACA: Polis Siasat Empat Kes Pecah Amanah Kutipan Zakat RM9.7 Juta

“Kita baru buat tangkapan melibatkan seorang lelaki dan seorang wanita. Kita sedang siasat dan (sebaik selesai) akan beri maklumat lagi,” katanya.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf telah mendedahkan mengenai siasatan berkenaan kes tersebut.

Beliau berkata, siasatan telah dibuat terhadap sebuah syarikat yang dilantik sebagai ejen kutipan zakat MAIPk. Syarikat itu disyaki telah melakukan penyelewengan kutipan zakat sebanyak RM9.62 juta.

Siasatan itu dibuat selepas mendapati syarikat tersebut dipercayai gagal mendepositkan zakat bermula Mac hingga September 2023.

Sementara itu, MAIPk buat masa ini difahamkan tidak dapat mengeluarkan sebarang kenyataan susulan kes tersebut masih lagi dalam siasatan polis.

Selain di Perak, dua lagi kes berkaitan penyelewengan kutipan zakat juga berlaku di Selangor dan satu lagi di Terengganu.

Kesemua kes itu sedang disiasat oleh pihak polis.

BACA: Tak Ada Kaitan Dengan Musang, Ini Asal Usul Nama Durian Musang King Yang Ramai Tak Tahu

Sumber: Sinar Harian