Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Suka Bertani Tapi Hasil Tak Lebat? Ini Cara Petani Guna Kulit Udang Untuk Tingkatkan Hasil
Petani sekarang memang makin moden, dengan pelbagai kemudahan dan teknologi yang memudahkan kerja harian.
Kalau dulu banyak bergantung pada tenaga manual dan cara tradisional, kini semuanya dah berubah dengan penggunaan mesin, peralatan canggih dan sistem digital yang bantu tingkatkan hasil serta kecekapan.
Kalau tengok secara lebih luas, perkembangan teknologi yang semakin maju termasuk penggunaan teknologi nuklear dalam bidang tertentu. Contohnya untuk penyelidikan benih, kawalan perosak dan pemantauan keadaan tanah.
Apa yang menarik zaman kini, petani pun dah mula guna teknologi nuklear untuk tingkatkan hasil pertanian
Sebagai buktinya, ada petani yang dah mula gunakan kulit udang sebagai ‘penggalak’ dalam tanaman mereka.

Dalam usaha memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi dan berkualiti, pelbagai inovasi terus diperkenalkan.
Salah satu yang kini mula menjadi perhatian adalah NM Oligokitosan, produk berasaskan kulit udang yang bukan sahaja mesra alam, malah terbukti mampu meningkatkan hasil tanaman secara signifikan.
Produk ini merupakan hasil penyelidikan oleh Agensi Nuklear Malaysia di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), sejajar dengan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (2021–2025).
NM Oligokitosan ialah penggalak pertumbuhan tanaman (biostimulan) dan juga elisitor yang dihasilkan menggunakan teknologi nuklear.
Menariknya, bahan utama produk ini datang daripada kitosan, iaitu sejenis biopolimer yang diekstrak daripada kulit udang, ketam dan juga kulat.
Kitosan merupakan bahan terbitan daripada kitin, seperti kulit udang dan ketam serta dinding sel kulat (fungus). Kitin tergolong dalam kumpulan polisakarida daripada rantaian unit monosakarida yang mengandungi unsur karbon (C), hidrogen (H), oksigen (O) dan nitrogen (N).
Difahamkan, molekul kitin mempunyai berat molekul yang sangat tinggi hingga boleh mencapai jutaan Dalton (Da). Secara semula jadi, kitin bersifat tidak larut air dan kurang reaktif disebabkan oleh kehadiran kumpulan asetil (-COCH₃).
Oleh itu, kitin perlu dimodifikasi secara kimia melalui proses penyingkiran kumpulan asetil untuk menghasilkan kitosan yang mengandungi kumpulan amina (-NH₂). Aktiviti dan sifat kitosan banyak dipengaruhi oleh berat molekul serta kandungan kumpulan amina dalam strukturnya.
Sinaran gama digunakan untuk memutuskan rantaian kitosan kepada rantaian yang lebih pendek sehingga berat molekul menjadi sekitar 10,000 hingga 20,000 Da.
Kitosan menjadi aktif sebagai penggalak pertumbuhan tanaman apabila berat molekulnya rendah. Kaedah pemprosesan sinaran gama ke atas kitosan dapat dilaksanakan dalam kuantiti yang banyak dan cepat.
Jadi, pendedahan kitosan kepada sinaran gama tidak mengaruhkan perubahan struktur asal kumpulan berfungsi kitosan.
Ujian keberkesanan NM Oligokitosan memang dah dijalankan pada pelbagai jenis tanaman seperti padi, jagung, cili, mulberi dan sayur-sayuran dengan kerjasama bersama agensi kerajaan, syarikat swasta serta komuniti petani sendiri.
Menariknya, keputusan yang diperoleh memang bukan biasa-biasa.
Contohnya untuk tanaman padi, ujian bersama peserta FELCRA di Kampung Gajah, Perak menunjukkan kadar percambahan benih boleh cecah sekitar 95 hingga 98 peratus. Bukan itu saja, tempoh anak benih di tapak semaian pun jadi lebih cepat daripada 15 hari kepada hanya 13 hari sebelum dipindahkan ke sawah.
Dari segi hasil pula, pengeluaran padi meningkat sehingga 25 peratus. Bagi cili fertigasi pula, ujian bersama usahawan muda di Sungai Rokam, Perak menunjukkan percambahan benih naik kepada 86.7 peratus berbanding sekitar 70 peratus dengan cara biasa.
Pertumbuhan anak pokok pun nampak lebih sihat, terutamanya bila rawatan NM Oligokitosan digunakan dari peringkat awal, sekali gus bantu tingkatkan hasil cili sekitar 15 peratus.
Yang paling penting, tanaman juga jadi lebih kuat dan tahan menghadapi tekanan persekitaran seperti cuaca ekstrem.

Keberkesanan ini dikaitkan dengan kemampuan kitosan meningkatkan kandungan klorofil pada daun serta membentuk lapisan filem biopolimer nipis yang membantu mengurangkan kehilangan air melalui liang stoma pada daun melalui proses transpirasi
Selain tu, kajian oleh penyelidik Nuklear Malaysia juga dapati NM Oligokitosan boleh membantu akar tanaman tumbuh dengan lebih baik. Bila akar lebih sihat dain kuat, serapan air serta nutrien dari tanah pun jadi lebih efisien, sekali gus bantu tanaman membesar dengan lebih subur.
NM Oligokitosan turut bertindak sebagai ‘perisai’ semula jadi untuk tanaman kerana ia mengurangkan penyakit karah pada padi, manakala serangan lalat putih pada cili menurun drastik dari 83 peratus ke 33.3 peratus.
Ini bermakna petani boleh kurangkan penggunaan racun kimia, sekali gus menjimatkan kos dan lebih mesra alam.
Selain bantu tanaman membesar dengan lebih baik, NM Oligokitosan juga boleh digunakan lepas tuai hasil. Jika sembur pada cili atau sayur-sayuran, ia boleh bantu kurangkan kesan penuaan yang biasanya buat kualiti merosot dari segi nutrisi, tekstur dan rasa.
Lapisan nipis kitosan yang terbentuk pada permukaan hasil tu pula bantu kurangkan kehilangan air dan lambatkan proses menjadi layu. Hasilnya, sayur dan buah boleh kekal segar sampai lebih dua minggu.

Produk NM Oligokitosan ni sebenarnya bukti teknologi nuklear pun ada peranan besar dalam dunia pertanian.
Menariknya, ia guna bahan buangan macam kulit udang atau cengkerang hidupan laut yang sebelum ni selalunya dibuang begitu saja.
Dengan teknik sinaran mengion struktur kitosan diubah supaya jadi lebih efektif untuk tanaman. Inilah salah satu contoh macam mana teknologi nuklear boleh bantu tingkatkan jaminan dan keselamatan makanan di Malaysia.
Untuk maklumat lanjut berkaitan Agensi Nuklear Malaysia, boleh layari portal rasmi di www.nuclearmalaysia.gov.my atau imbas kod qr bagi katalog perkhidmatan Agensi Nuklear Malaysia.
