Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Sukan SEA 2025: Malaysia Rangkul Emas Acara Sepak Takraw Regu Berpasukan Lelaki

Hannah
malaysia emas takraw
Sumber: Stadium Astro

Sukan SEA 2025: Malaysia Rangkul Emas Acara Sepak Takraw Regu Berpasukan Lelaki

Skuad sepak takraw negara akhirnya menamatkan penantian selama 34 tahun untuk meraih pingat emas acara regu berpasukan lelaki di Sukan SEA selepas menewaskan tuan rumah, Thailand, dengan keputusan 2-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Gimnasium Nakhon Pathom.

Cabaran Malaysia pada perlawanan akhir sebentar tadi tidak bermula dengan baik apabila regu pertama yang dibarisi Haziq Hairul Nizam, Noraizat Nordin dan Amirul Zazwan Amir terpaksa akur tewas tipis 1-2 kepada lawan. Regu negara kalah pada set pertama 9-15, bangkit memenangi set kedua 15-11, namun tewas 13-15 pada set penentuan.

Malaysia kembali bangkit dalam perlawanan kedua apabila menurunkan regu terbaik yang dianggotai Shahir Rosdi, Azlam Alias dan Farhan Adam. Regu ini mempamerkan aksi cemerlang menewaskan Siriwat Sakha, Thawisak Thongsai dan Rachan Viphan dari Thailand dengan keputusan 17-14, 15-13 sekali gus menghidupkan peluang negara.

Perlawanan penentuan menyaksikan regu ketiga negara yang dibarisi Zulkifli Razak, Afifudin Razali dan Aidil Aiman Azwawi menunjukkan momentum baik apabila bangkit daripada ketinggalan 0-7 untuk memenangi set pertama 13-5.

Pada set kedua, kemasukan Zarif Marican Ibrahim Marican menggantikan Zulkifli memberi impak besar apabila regu negara terus menguasai permainan sebelum mengesahkan kemenangan 15-11.

Kejayaan tersebut sekali gus memastikan pingat emas menjadi milik Malaysia, menamatkan dominasi Thailand dan mengakhiri kemarau panjang negara dalam acara regu berpasukan lelaki sepak takraw di pentas Sukan SEA.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia memenangi emas acara itu adalah dalam edisi di Manila, Filipina, di mana ketua jurulatih skuad kebangsaan, Ahmad Jais Baharom, turut mewakili negara ketika itu.

BACA: Sukan SEA 2025: Pearly-Thinaah Rangkul Emas Beregu Badminton Wanita

Sumber: Stadium Astro