Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menaiki Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam bagi meninjau sendiri operasi perkhidmatan pengangkutan awam yang baru beroperasi itu.
Baginda yang diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berangkat dari Stesen LRT Bandar Utama pada jam 10.30 pagi sebelum memulakan perjalanan ke Stesen Johan Setia.
Tinjauan selama kira-kira satu jam lima minit itu merentasi keseluruhan jajaran sepanjang 37.8 kilometer yang melibatkan 20 stesen.
Dalam satu kenyataan media, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa syukur apabila projek infrastruktur pengangkutan awam yang dinantikan rakyat akhirnya dapat direalisasikan.
“Beta syukur kerana projek infrastruktur pengangkutan awam yang sekian lama dinantikan ini akhirnya menjadi kenyataan demi meningkatkan mutu kehidupan rakyat, mengurangkan kesesakan lalu lintas serta menyediakan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap, selesa dan mampan.
“Alangkah baiknya kalau laluan LRT3 ini siap seperti perancangan asal kerana Beta berpandangan perkhidmatan tren ini adalah kemudahan pengangkutan awam yang penting untuk kesenangan rakyat,” titah baginda.
Baginda turut menzahirkan harapan agar lima stesen yang sebelum ini ditangguhkan iaitu Tropicana, Temasya, Raja Muda, Bukit Raja dan Bandar Botanik dapat disiapkan seperti dirancang kerana dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk di kawasan sekitar.
Selain itu, baginda merakamkan penghargaan kepada Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), MRCB serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pembinaan dan pengoperasian Laluan Shah Alam.
Menurut baginda, lebih 13,000 individu telah menyumbang tenaga, kepakaran dan komitmen sepanjang tempoh pembinaan projek tersebut.
“Sepanjang tempoh pembinaan selama 10 tahun sembilan bulan, secara puratanya seramai 8,000 kakitangan bertugas di pelbagai lokasi pada satu-satu masa merangkumi pelbagai disiplin dan bidang kepakaran bagi memastikan projek ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.
“Kejayaan sebenar projek ini bukan sekadar pembinaan stesen, landasan dan tren, tetapi manifestasi dedikasi serta profesionalisme lebih 13,000 individu yang menjayakannya,” titah baginda.
Baginda turut berharap Prasarana dapat memastikan operasi LRT3 terus berjalan lancar selain menggesa orang ramai memanfaatkan sepenuhnya kemudahan itu bagi membudayakan penggunaan pengangkutan awam.
Turut mengiringi keberangkatan baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan.
LRT3 Laluan Shah Alam yang dirasmikan pada 28 Jun lalu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira dua juta penduduk di sepanjang jajaran tersebut dengan nilai pelaburan berjumlah RM16.63 bilion.