Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Sunway Lancar Pusat Seni Persembahan Bernilai RM200 Juta Di Kuala Lumpur

Sunway Group melancarkan Pusat Seni Persembahan Jeffrey Cheah (JCPAC) bernilai RM200 juta di Sunway Square, Sunway City Kuala Lumpur, sebagai platform untuk mengetengahkan bakat seni tempatan dan Asia Tenggara ke peringkat antarabangsa.

Pusat seni persembahan yang dilancarkan pada 19 Oktober itu turut menyediakan kemudahan bagi penganjuran produksi antarabangsa, termasuk teater muzikal, konsert orkestra, tarian dan drama.

Pengasas dan Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah berkata pelaburan berkenaan mencerminkan keyakinan kumpulan itu bahawa bidang seni persembahan perlu diberikan perhatian dan sokongan setanding dengan pendidikan serta penyelidikan.

“Pelaburan kami dalam JCPAC mencerminkan kepercayaan bahawa kecemerlangan dalam seni persembahan wajar menerima komitmen, sumber dan peluang yang sama seperti yang diberikan kepada pendidikan dan penyelidikan.

“Kami mahu penggiat seni Malaysia mendapat akses kepada kemudahan bertaraf dunia, bekerjasama dengan produksi terkemuka antarabangsa dan mengembangkan bakat mereka sehingga mencapai standard tertinggi di peringkat global,” katanya dalam kenyataan.

JCPAC menempatkan dua ruang persembahan utama, iaitu Grand Theatre yang mempunyai kapasiti 1,200 tempat duduk dan The Studio, sebuah teater fleksibel yang mampu menampung sehingga 150 penonton.

Daripada keseluruhan kos pembangunan RM200 juta, kira-kira RM30 juta diperuntukkan khusus bagi sistem bunyi dan teknologi akustik.

Grand Theatre dilengkapi gabungan sistem bunyi imersif L-Acoustics L-ISA dan teknologi akustik aktif Ambiance, menjadikannya pemasangan gabungan pertama seumpamanya di Malaysia.

Teknologi itu membolehkan ciri akustik dewan disesuaikan mengikut jenis persembahan, termasuk muzik orkestra, teater muzikal dan drama, tanpa memerlukan perubahan fizikal pada struktur bangunan.

Dewan berkenaan turut dilengkapi menara pentas bersaiz penuh dan ruang orkestra bagi menyokong pementasan berskala besar.

Sementara itu, The Studio menyediakan pentas mudah alih serta susunan tempat duduk yang boleh diubah mengikut keperluan, sesuai untuk persembahan berskala kecil, karya eksperimental dan program pendidikan.

Pelancaran JCPAC diraikan menerusi konsert Brand New Day: A Symphonic Broadway Celebration yang menghimpunkan 22 penyanyi, lapan penari dan 73 pemuzik daripada TUTAN Festival Orchestra di bawah pimpinan konduktor Kevin Field.

Antara artis yang menjayakan persembahan itu ialah Stephen Rahman-Hughes, Sean Ghazi, Izen Kong, Aaron Teoh, Gian Magdangal, Elvira Arul, Ida Mariana, Lara Maigue, Mae Elliessa dan Tria Aziz.

Konsert berkenaan turut mempersembahkan lagu daripada beberapa produksi teater muzikal terkenal seperti Les Misérables, The Phantom of the Opera, Miss Saigon, Wicked dan Dreamgirls.

Mengulas lanjut, Jeffrey Cheah turut menekankan kepentingan menjalin kerjasama dengan organisasi seni persembahan luar negara bagi menggalakkan pertukaran kepakaran, kolaborasi serta pembangunan profesional dalam kalangan penggiat seni.

“Kita mempunyai banyak sumbangan yang boleh diberikan kepada landskap kebudayaan global dan penggiat seni kita berhak mendapat setiap peluang untuk dilihat, didengari serta dihargai di luar negara,” katanya.

Bagi musim persembahan sulungnya, JCPAC bakal menampilkan beberapa produksi utama termasuk Puteri Gunung Ledang The Musical bermula 31 Oktober, The Butterfly Lovers The Musical oleh Dama Asia pada November serta Charlie and the Chocolate Factory the Musical dari 22 Disember 2026 hingga 10 Januari 2027.

JCPAC merupakan sebahagian daripada pembangunan bersepadu Sunway Square bernilai RM1.8 bilion yang turut merangkumi dua menara korporat, pusat beli-belah Sunway Square Mall dan peluasan kampus Sunway University.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai pusat seni persembahan itu dan jadual pementasan menerusi laman web rasmi www.jcpac.my.

Intipati
  • Sunway Group melancarkan JCPAC bernilai RM200 juta di Sunway City Kuala Lumpur.
  • Pusat itu mempunyai Grand Theatre 1,200 tempat duduk dan The Studio berkapasiti 150 penonton.
  • Musim sulung JCPAC bakal menampilkan beberapa produksi utama termasuk Puteri Gunung Ledang The Musical.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan