Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah, Kemudahan Asas (HIES/BA) 2022 Penting Bagi Penilaian Rancangan Pembangunan Sosioekonomi Negara

PUTRAJAYA, 17 Januari 2022 – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada hari ini telah melancarkan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) 2022 bertempat di Dewan Serbaguna, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang. Majlis Pelancaran Survei HIES/BA 2022 ini telah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dan turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia.

Survei ini dilaksanakan secara temuramah bersemuka dan akan melibatkan seramai 92,000 isi rumah terpilih yang meliputi lebih 500,000 orang penduduk di seluruh negara. Di samping kaedah temu ramah bersemuka, responden terpilih boleh juga membuat pengisian borang soal selidik secara self-response secara atas talian. Kerahsian maklumat yang dibekalkan oleh responden dalam survei yang dijalankan ini adalah terjamin mengikut peruntukan di bawah Akta Perangkaan 1965 (Disemak – 1989). Survei ini akan memberi manfaat kepada semua pihak terutamanya pihak Kerajaan dalam menganalisis agihan pendapatan dan perbelanjaan isi rumah mengikut domain yang lebih terperinci.

Bermula daripada Rancangan Malaysia yang Kedua sehingga Rancangan Malaysia Kedua Belas, dapatan HIES/BA telah digunakan secara menyeluruh dalam penggubalan dasar dan program pembasmian kemiskinan serta polisi yang berkaitan dengan kesamarataan pendapatan isi rumah. Berikutan krisis kesihatan dan ekonomi yang berlaku dalam negara kita, dapatan survei HIES/BA 2022 ini akan menjadi tanda aras baharu bagi Kerajaan menggubal polisi dan dasar yang berkaitan untuk kesejahteraan rakyat. Selain itu, dapatan ini juga merupakan salah satu input yang akan digunakan oleh Kerajaan untuk menilai pencapaian Rancangan Malaysia Kedua Belas, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, dan Agenda 2030 Pembangunan Mampan (SDGs) yang menekankan pembangunan negara secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif pada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan.

Susulan dari perkembangan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020, YB Menteri berkata data muktamad Banci Malaysia 2020 akan dikeluarkan dalam bentuk laporan secara berperingkat bermula dari Februari 2022 sehingga 2024. Penerbitan pertama iaitu Penemuan Awalan Banci Malaysia 2020 akan diterbitkan pada Februari 2022. Seterusnya, dijangka lebih daripada 1,000 laporan Banci Malaysia 2020 merangkumi 16 negeri, 160 daerah, 222 parlimen dan 600 Dewan Undangan Negeri akan diterbitkan secara berperingkat.

Dalam ucapannya juga, YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed turut menyatakan selaras dengan pengukuhan Sistem Statistik Negara, Majlis Statistik dan Data Negara (MSDN) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia telah ditubuhkan bagi menentukan hala tuju sistem statistik negara di samping berperanan sebagai platform penyelarasan maklumat peringkat negara. Selain itu, perkembangan fenomena data raya dan ketersediaan teknologi telah mendorong pertumbuhan inovasi baharu dan membuka ruang agensi kerajaan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat. Atas keperluan ini, penubuhan Pusat Analitik Data Raya Negara (NBDAC) adalah kritikal bagi menyokong hasrat Kerajaan dalam memastikan setiap perancangan dan pembuatan keputusan berlandaskan analitik data, selaras dengan inisiatif Kerajaan Digital.

Pembekalan maklumat yang lengkap dan tepat merupakan elemen utama dalam memastikan semua perancangan dirangka berada pada landasan yang betul. Jabatan Perangkaan Malaysia amat menghargai kerjasama daripada responden yang terpilih untuk memberikan maklumat kepada DOSM serta menjayakan survei ini. Sila layari www.dosm.gov.my untuk maklumat lanjut.