Suzuki memperkenalkan dua model motosikal baharu, GSX-10R dan SV-7S, pada pameran EICMA 2026 di Milan, Itali, bagi memperluas pilihan dalam rangkaian motosikal sport dan naked jenama itu.
GSX-10R mengetengahkan warisan perlumbaan Suzuki dalam pakej motosikal sport yang direka untuk kegunaan harian, perjalanan hujung minggu serta tunggangan di litar.
Model itu dikuasakan enjin empat silinder sebaris 999cc yang dibangunkan daripada susur galur enjin K5, dengan penambahbaikan bagi menghasilkan operasi lebih lancar dan senyap.

Menurut Suzuki, casis aluminium kompak, suspensi yang diperhalusi serta posisi tunggangan condong ke hadapan memberikan pengalaman lebih hampir kepada karakter sportif GSX-R1000R.
GSX-10R turut dilengkapi sayap kecil aerodinamik atau winglet serta reka bentuk agresif berinspirasikan perlumbaan. Kejuruteraannya membolehkan sudut kecondongan sehingga 53 darjah ketika mengambil selekoh.
Ketinggian tempat duduk 810 milimeter pula mengimbangi karakter sportif dengan kemudahan penggunaan harian, selain disokong teknologi bantuan penunggang untuk kegunaan jalan raya dan litar.
Pengurus Bahagian Pemasaran Motosikal Suzuki, Akira Kyuji berkata GSX-10R menggabungkan karakter sport yang lebih terarah dengan enjin yang diperhalusi bagi membolehkan prestasinya dinikmati dalam pelbagai keadaan tunggangan.
Sementara itu, SV-7S meneruskan karakter SV650 menerusi enjin V-kembar 645cc yang dipadankan dengan teknologi moden dan pengendalian mesra penunggang.

Enjin yang mematuhi piawaian Euro 5+ itu kini dilengkapi sistem pendikit elektronik Ride-by-Wire, pilihan mod tunggangan, kawalan cengkaman serta penukar gear pantas dua hala.
Ketinggian tempat duduk 785 milimeter dan profil badan yang langsing membantu penunggang menjejakkan kaki ke tanah dengan lebih selesa, sekali gus meningkatkan keyakinan ketika berhenti.
Kyuji turut mengetengahkan pengurangan berat SV-7S sebanyak 10 kilogram berbanding SV-7GX, bagi menyokong karakter tunggangan yang mudah dikendalikan dan menyeronokkan untuk penunggang baharu serta berpengalaman.
Maklumat harga, tarikh pemasaran dan ketersediaan kedua-dua model di Malaysia tidak dinyatakan dalam pengumuman tersebut.

