Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Syed Saddiq Mulakan Larian Kesyukuran Putrajaya-Muar
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memulakan Larian Kesyukuran Muar selama empat hari bermula Khamis dengan misi mengumpul dana sebanyak RM200,000 bagi membantu golongan yang memerlukan di kawasan Parlimen Muar.
Larian tersebut bermula dari Istana Kehakiman, Putrajaya dan dijadualkan berakhir di Laman Maharani, Muar pada Ahad, selepas merentasi beberapa lokasi di Negeri Sembilan dan Melaka sebelum memasuki Johor.
Menerusi satu kenyataan, Syed Saddiq berkata, larian itu bukan sekadar cabaran fizikal, malah merupakan tanda kesyukuran selepas melalui satu perjalanan yang panjang dan penuh dugaan.
Menurut beliau, program berkenaan turut menjadi simbol penghargaan kepada keluarga, rakan-rakan, pasukan serta rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Muar yang sentiasa memberikan sokongan dan doa sepanjang perjalanan hidupnya.
Beliau berharap Larian Kesyukuran Muar dapat diterjemahkan kepada manfaat yang lebih besar kepada masyarakat melalui usaha mengumpul dana untuk membeli iPad bagi kegunaan mahasiswa serta menyediakan bakul makanan kepada golongan yang memerlukan.
Katanya, inisiatif tersebut diharapkan dapat membantu meringankan beban penerima selain membuka lebih banyak peluang pendidikan kepada anak-anak di Muar.
Berdasarkan maklumat yang dikongsikan, hari pertama larian bermula dari Istana Kehakiman, Putrajaya menuju ke Labu dengan melalui Surau Al-Falah, Salak Tinggi sebelum menamatkan perjalanan di Cendol Sagu Rumbia.
Pada hari kedua, laluan diteruskan dari Labu ke Kota, melalui Palm Mall Seremban dan Petron Pedas sebelum berakhir di PETRONAS Kota.
Hari ketiga pula menyaksikan perjalanan dari Kota ke Simpang Ampat melalui kawasan Kelemak dan Bemban sebelum tamat di Restoran Sulaiman.
Bagi hari terakhir, Syed Saddiq akan meneruskan larian dari Simpang Ampat ke Laman Maharani, Muar, yang menjadi lokasi penamat rasmi Larian Kesyukuran Muar.
Orang ramai yang ingin memberikan sokongan di sepanjang laluan larian dinasihatkan mengambil maklum bahawa masa serta lokasi hentian atau checkpoint boleh berubah mengikut keadaan cuaca, faktor keselamatan dan keadaan semasa peserta.