Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tajaan HKHM 2026 Cecah RM48.63 Juta, Meningkat 118 Peratus

TAJAAN
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil (tengah) bergambar bersama penaja pada Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan oleh Rakan Strategik Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026. Kredit foto: Haziq Hakimi/ SK

Nilai keseluruhan tajaan bagi Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 mencecah RM48.63 juta, meningkat lebih 118 peratus berbanding RM22.3 juta yang diterima pada tahun lalu.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, daripada jumlah berkenaan, RM2.7 juta merupakan sumbangan dalam bentuk wang tunai, manakala RM45.93 juta lagi dalam bentuk barangan dan perkhidmatan.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan oleh Rakan Strategik Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026, di sini, hari ini.

Menurut beliau, peningkatan nilai tajaan itu mencerminkan sokongan kukuh sektor korporat, swasta dan pemain industri terhadap penganjuran HKHM 2026.

“Setakat ini, Kementerian Komunikasi sudah melaksanakan libat urus dengan lebih 350 organisasi, manakala 139 rakan strategik menyatakan persetujuan untuk menyumbang bagi menjayakan HKHM 2026,” katanya.

Sumbangan penajaan daripada pihak Astro bagi Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 berjumlah RM7 juta. Kredit foto: Haziq Hakimi/ SK.

Ujarnya, sumbangan yang diterima merangkumi wang tunai, barangan dan perkhidmatan, dengan sumbangan tunai akan disalurkan ke dalam Akaun Amanah Sekretariat Merdeka (AASM) untuk persiapan serta pelaksanaan sambutan.

Jelasnya, sebanyak 50 peratus daripada keseluruhan nilai tajaan adalah dalam bentuk promosi, 30 peratus barangan untuk diberikan kepada pengunjung, manakala 20 peratus lagi merupakan tajaan kepada jawatankuasa yang terlibat dalam penganjuran HKHM 2026.

Fahmi berkata, kerjasama strategik berkenaan membuktikan HKHM bukan lagi sekadar acara rasmi dalam kalendar kerajaan, sebaliknya berkembang sebagai manifestasi kebersamaan antara kerajaan, sektor swasta, industri dan rakyat dalam menyemarakkan semangat patriotisme serta kecintaan terhadap negara.

Tema Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati, mencerminkan iltizam Kerajaan MADANI dalam memastikan kemajuan, kemakmuran dan hasil pembangunan negara dinikmati secara adil, saksama dan inklusif oleh semua rakyat.

Sempena sambutan HKHM 2026, pelbagai aktiviti menarik akan dilaksanakan bagi menyemarakkan semangat patriotik dan memperkukuh perpaduan rakyat berbilang kaum, antaranya Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang dan Kembara Merdeka Jalur Gemilang.

Menurut beliau, langkah memperkukuh kerjasama dengan sektor korporat dan swasta turut melibatkan Kempen Kibar Jalur Gemilang, Kempen Jualan RAHMAH Merdeka, acara perarakan, program sisipan serta publisiti HKHM di pelbagai platform media.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, sempena HKHM 2026, kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dengan kerjasama lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi, iaitu CelcomDigi, Maxis, TM, U Mobile dan YES, turut menawarkan Insentif Rebat RAHMAH HKHM 2026.

Katanya, rakyat Malaysia yang layak akan menikmati 10GB data percuma, iaitu 5GB pada Hari Kebangsaan, 31 Ogos 2026 dan 5GB lagi pada Hari Malaysia, 16 September 2026.

“Kaedah dan tempoh penebusan data percuma ini akan diperincikan oleh syarikat telekomunikasi terlibat dan tertakluk kepada terma serta syarat yang ditetapkan,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai Sambutan HKHM 2026 menerusi Portal Merdeka 360 serta platform media sosial Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) yang akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, sinergi antara sektor awam dan swasta yang terbina menerusi HKHM 2026 diharap terus diperkukuh dan diperluaskan demi kemakmuran serta masa depan Malaysia.

Intipati
  • Tajaan HKHM 2026 meningkat kepada RM48.63 juta, berbanding RM22.3 juta tahun lalu.
  • Sebanyak 139 rakan strategik bersetuju menyumbang selepas libat urus lebih 350 organisasi.
  • Rakyat Malaysia yang layak akan menerima 10GB data percuma sempena dua sambutan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan