CYBERJAYA, 7 JULAI 2023 — Tindakan memuatnaik memuatnaik maklumat kanak-kanak terlibat kes jenayah, walaupun dengan mengaburkan muka individu terlibat mahupun ahli keluarganya adalah melanggar privasi, ujar Pengerusi Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), Kenny Ong.
Menurut Kenny, laporan berita yang bukan sahaja mendedahkan gambar keluarga, tetapi juga maklumat lain yang membolehkan pihak terlibat dikenali boleh menyebabkan trauma psikologi dan stigma masyarakat terhadap mereka. Hal ini sekaligus boleh menghalang proses pemulihan dan integrasi semula pelaku ke dalam masyarakat.
“Sebagai sebuah organisasi yang menggalakkan kawalan kendiri dalam memastikan ekosistem kandungan yang selamat, kami menggesa supaya media lebih bertanggungjawab dan berhati-hati apabila membuat liputan jenayah yang melibatkan kanak-kanak,” ujarnya.
“Seperti sedia maklum, media memainkan peranan penting dalam menyebarkan berita sekali gus meningkatkan kesedaran awam. Bukan itu sahaja, Integriti dan etika kewartawanan juga haruslah seimbang dengan keperluan bagi melindungi hak dan maruah individu terutamanya kanak-kanak yang mungkin tidak memahami sepenuhnya akibat daripada kelakuan mereka,” tegas beliau lagi.
Katanya, Akta Kanak-Kanak 2001 Bahagian IV, Seksyen 5 melarang media massa mendedahkan sebarang maklumat yang membolehkan orang ramai mengenali kanak-kanak. Malah, penerbitan gambar keluarga walaupun dikaburkan dipercayai melanggar privasi kanak-kanak serta mendedahkan mereka sekeluarga dengan kesan negatif seperti trauma psikologi dan stigma masyarakat.
Tegas Kenny, media perlu mementingkan etika apabila melaporkan kes jenayah melibatkan kanak-kanak bagi melindungi kebajikan mereka.

“Laporan berita yang tidak bertanggungjawab bukan sahaja akan memudaratkan kanak-kanak yang terlibat, tetapi ia juga mungkin menghalang kanak-kanak lain daripada mendapatkan bantuan atau sokongan apabila mereka amat memerlukannya,” katanya.
Lantaran itu, CMCF menggesa pihak media agar melindungi identiti kanak-kanak seperti nama keluarga, alamat atau gambar peribadi yang boleh menjejaskan keselamatan serta masa depan kanak-kanak terlibat.
Selain itu, media juga dituntunt agar sentiasa peka dan berempati ketika melaporkan kes jenayah melibatkan kanak-kanak, ujar Kenny.
“Elemen sensasi yang tidak perlu boleh membawa kesan jangka panjang kepada kanak-kanak dan berupaya memburukkan lagi trauma mereka sekali gus menghalang pemulihan dan pertumbuhan mereka,” tambahnya.
Tegas beliau, media perlu melaporkan fakta secara objektif tanpa naratif yang keterlaluan, sekaligus mengelakkan penerangan yang boleh memburukkan keadaan kanak-kanak terlibat serta keluarga mereka.
“Kami juga memohon kerjasama orang ramai untuk bersama-sama menjaga hak kanak-kanak. Elakkan berkongsi atau menyebarkan laporan berita sensitif yang melibatkan kanak-kanak, terutamanya yang disertakan dengan imej atau maklumat pengenalan mereka. Tindakan sedemikian hanya mengekalkan kemudaratan yang ditimpakan kepada kanak-kanak dan keluarga mereka,” kata Kenny.
“Kami juga mengalu-alukan peluang untuk bekerjasama dengan semua pihak untuk pemahaman yang lebih baik tentang garis panduan dan amalan terbaik lain melalui Kod Kandungan 2022 kami.”


