Perlumbaan Formula 1 bukan sahaja sinonim dengan aksi laju di litar, malah turut mempunyai tradisi tersendiri ketika meraikan pemenang selepas perlumbaan.
Namun, ada sesuatu yang berbeza bakal berlaku di podium Grand Prix Malaysia 2026 apabila juara perlumbaan tidak akan diraikan dengan semburan champagne seperti kebiasaan.
Sebaliknya, air mawar yang diterbangkan khas dari Bahrain bakal digunakan untuk meraikan pemenang di podium selepas perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang.
Perkara itu dikongsikan jurugambar Formula 1, Kim Illman menerusi satu video yang memaparkan persiapan menjelang perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang.
Menurut Kim, persiapan di Malaysia dilihat hampir menyerupai apa yang biasa dilakukan ketika Grand Prix Bahrain, termasuk penglibatan Gulf Air sebagai penaja utama perlumbaan.
Beliau turut menceritakan pengalamannya melihat salah sebuah pesawat Gulf Air terbang berpusing beberapa kali di sekitar kawasan berkenaan sebagai sebahagian daripada persiapan menjelang perlumbaan pada Ahad.
Air mawar dibawa khas dari Bahrain
Kim berkata, air mawar yang akan digunakan di podium telah diterbangkan khas dari Bahrain dan dikendalikan dengan kawalan keselamatan sepanjang proses penghantaran.
“Adakah mereka akan menggunakan champagne di podium? Tidak. Mereka akan menggunakan air mawar dan ia telah diterbangkan dari Bahrain.
“Ia disimpan dalam keadaan sejuk sepanjang perjalanan, dibawa ke lapangan terbang Bahrain dengan kawalan keselamatan dan diambil dengan kawalan keselamatan di sini,” katanya.
Beliau turut membandingkan penggunaan air mawar itu dengan Grand Prix Malaysia pada 2017 yang menyaksikan champagne sebenar digunakan di podium.
Menurut Kim, champagne yang digunakan ketika itu menghasilkan lebih banyak buih berbanding air mawar.
Bagaimanapun, hasil perbualannya dengan Laurence, yang mengendalikan Bahrain International Circuit, usaha telah dilakukan sejak beberapa tahun lalu bagi menghasilkan air mawar yang lebih berbuih.
“Beberapa tahun lalu, mereka berusaha untuk menjadikan air mawar lebih berbuih. Jadi, kita akan lihat bagaimana rupanya di podium selepas perlumbaan,” katanya.
Selain penggunaan air mawar, Kim turut memaklumkan bahawa lagu kebangsaan Malaysia dan Bahrain akan dimainkan sebelum perlumbaan bermula.
Perkara itu menurutnya merupakan antara elemen yang mengingatkan kepada penganjuran Grand Prix Bahrain.
Perlumbaan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix Malaysia 2026 dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada Ahad, manakala sesi latihan bebas telah bermula hari ini sebagai persiapan awal sebelum aksi perlumbaan utama.

