Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tasik Kering Akibat Kemarau, Penduduk Di Rumah Terapung Buntu Tiada Sumber Air

Nurul Alya
tasik kering rumah terapung
Gambar: AFP

Tasik Kering Akibat Kemarau, Penduduk Di Rumah Terapung Buntu Tiada Sumber Air

Brazil — Kalau Malaysia sekarang sedang mengalami musim jerebu dan hujan, sesetengah tempat di luar Malaysia pula mengalami cuaca panas yang melampau. Bayangkan tahap kepanasan di tempat mereka sehingga menyebabkan air sungai dan tasik menjadi kering.

Begitulah nasib yang dihadapi oleh masyarakat di Tasik Puraquequara di timur Manaus, Amazon. Difahamkan, rumah terapung yang didiami oleh mereka kini terdampar akibat kemarau.

Memetik CNN, mereka kini bergelut untuk mendapatkan makanan, air dan bahan api.

Pada awal bulan ini, mereka telah dikejutkan dengan kematian lebih 100 ekor ikan lumba-lumba yang terdampar di daratan akibat peningkatan suhu air secara mendadak.

Susulan kejadian itu juga, pihak berkuasa berkata bahawa keadaan berkemungkinan akan menjadi semakin teruk.

Tasik Puraquequara itu merupakan sebahagian daripada sistem sungai Rio Negro yang telah mengalami penurunan paras air terendah sejak akhir September.

Keadaan itu menyebabkan penduduk terpaksa menggali perigi di tasik yang telah kering dan retak, demi mendapatkan sumber air.

Gambar: AFP

“Kedai kami tiada pelanggan. Kami tinggal di kawasan terpencil, bot tidak boleh masuk atau keluar dari tasik,” kata seorang penduduk tempatan, Isaac Rodrigues.

Dalam masa yang sama, keadaan kemarau yang teruk ini telah menjangkau hingga ke seluruh negeri.

Difahamkan, 42 daripada 62 majlis perbandaran di negeri itu berada dalam situasi darurat dengan lebih 300,000 orang yang terjejas.

Situasi itu dijangka akan menjadi lebih teruk dengan kira-kira 500,000 penduduk dan 50 majlis perbandaran yang akan terjejas dalam beberapa minggu akan datang.

Pada akhir September, Gabenor Amazon, Wilson Lima telah mengisytiharkan darurat dan telah mengumumkan pakej bantuan, termasuklah menyediakan makanan kepada mereka yang terjejas akibat kemarau.

Menurutnya dalam satu kenyataan, ramai yang telah mengalami kesusahan untuk memperoleh makanan dan keperluan penting lain.

Selain itu, kemarau ini turut memberi impak buruk kepada hidupan akuatik di sungai-sungai negeri itu.

Sementara itu, para saintis berkata bahawa masih terlalu awal untuk mereka mengenalpasti punca kejadian yang ekstrem itu.

“Menurut pakar kami, ia pastinya berkaitan dengan tempoh kemarau dan suhu tinggi di Tasik Tefe, yang menunjukkan beberapa titik panas melebihi 39 darjah Celcius,” kata mereka.

Lebih merisaukan, kemarau ini telah diburukkan lagi oleh El Nino. Ia merupakan corak iklim semula jadi yang berasal dari Lautan Pasifik Tropika dan menjejaskan cuaca di seluruh dunia.

Gambar: AFP

Sumber: CNN

BACA JUGA: Respons Global Terhadap Perubahan Iklim Masih Belum Mencukupi