Pihak berkuasa Nepal dan China memberi amaran kemungkinan berlakunya banjir baharu di kawasan yang terjejas akibat bencana sebelum ini, susulan peningkatan paras air beberapa tasik yang terbentuk selepas runtuhan dan kini berisiko pecah, lapor ABC News.
Menurut Pihak Berkuasa Pengurangan Risiko Bencana dan Pengurusan Nepal (NDRRMA) tasik itu terbentuk selepas glasier yang runtuh pada Rabu telah membentuk hadangan yang menghalang aliran sungai di kawasan bencana
Susulan itu, berkuasa turut menggesa penduduk tempatan dan anggota penyelamat supaya menjauhi tebing sungai sehingga diberitahu kelak bagi mengelakkan risiko tidak diingini sekiranya tasik berkenaan pecah.
Tinjauan udara yang dibuat oleh pasukan penyelamat China pada Khamis turut mengesan pembentukan tasik berkenaan yang semakin dipenuhi air berwarna coklat, tanpa sebarang aliran keluar yang kelihatan.
Sementara Kementerian Sumber Air China pula berkata, air tasik berkenaan sudah mula melimpah dan menjangkakan tambahan kira-kira tiga juta meter padu air bakal mengalir masuk ke tasik itu dalam tempoh tiga hari akan datang.
Hujan berterusan tambah risiko
Risiko dijangka bertambah buruk dengan ramalan hujan sepanjang minggu depan, menurut media kerajaan China yang memetik Kementerian Sumber Air negara itu.
Keadaan tersebut menyebabkan sebahagian anggota penyelamat di Nepal mula bergerak ke kawasan lebih tinggi sebagai langkah berjaga-jaga.
Pawan Koirala, yang bersama 13 anggota pasukannya, berkata mereka memilih untuk beredar dari kawasan dasar sungai selepas menerima amaran berkenaan.
“Kami berada di sini untuk menjalankan operasi menyelamat dan tidak mahu berada berhampiran zon bahaya,” katanya.
Banjir kilat landa kawasan pergunungan Himalaya
Banjir kilat sebelum ini melanda kawasan pergunungan Himalaya, menyebabkan ratusan orang masih hilang di Nepal dan Tibet selepas arus deras membadai beberapa kawasan penempatan di sepanjang Sungai Bhote Koshi dan Trishuli.
Ahli antropologi alam sekitar dan felo kanan Stimson Center yang juga Ketua Program Nepal, Austin Lord, berkata peningkatan jumlah air boleh menyebabkan aliran bergerak dengan lebih pantas.
Beliau berkata empangan semula jadi yang terbentuk di kawasan berkenaan masih belum runtuh sepenuhnya, menyebabkan tasik tersebut berpotensi terus dipenuhi air sebelum pecah.
Menurut Lord, keadaan muka bumi di beberapa lokasi terlalu sukar dilalui kenderaan, sekali gus menjadikan usaha mencari dan menyelamat serta pemulihan di kawasan hulu Nepal sebagai satu tugas yang sukar dan mengambil masa.
Beliau turut memberi amaran bahawa Nepal masih berada dalam musim monsun, sekali gus meningkatkan risiko kejadian tanah runtuh.
“Sentiasa ada kemungkinan berlaku satu lagi lonjakan air dan sentiasa ada kemungkinan berlaku tanah runtuh lain di sepanjang laluan,” katanya.
Menurut beliau, sekiranya cerun sudah menjadi tidak stabil atau terhakis di bahagian bawah, hujan yang berterusan dan keadaan tanah yang tepu air boleh menyebabkan keseluruhan kawasan menjadi semakin tidak stabil.

