Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Tayar Meletup Tengah Jalan? Jangan Panik, Ikut 7 Langkah Ini
Bayangkan anda sedang memandu di lebuh raya. Lagu kegemaran berkumandang di radio, anak-anak tenang di tempat duduk belakang dan angin luar bertiup nyaman melalui celahan penghawa dingin.
Segalanya terasa sempurna sehinggalah tiba-tiba… BOOM! Bunyi letupan kuat yang mengejutkan anda diikuti rasa bergegar dari bawah kereta dan stereng yang terasa seperti tidak lagi mendengar arahan.
Tayar kereta anda mungkin telah meletup. Ini merupakan satu pengalaman yang mengejutkan, menakutkan dan berbahaya jika tidak ditangani dengan betul.
Dalam situasi genting seperti ini, langkah pertama yang perlu diutamakan bukanlah mencari punca tetapi menjaga keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.
Jangan biarkan panik menguasai fikiran. Berikut merupakan panduan langkah demi langkah yang perlu anda ambil sekiranya tayar meletup di tengah jalan ketika anda sedang memandu.
Langkah pertama yang paling penting dan sering dilupakan ialah kekal tenang. Walaupun bunyi letupan dan rasa bergegar boleh membuat sesiapa sahaja terkejut, tindakan panik seperti menekan brek mengejut atau memulas stereng secara mendadak boleh memburukkan lagi keadaan.
Tayar yang meletup menyebabkan kestabilan kenderaan terganggu lebih-lebih lagi jika berlaku pada kelajuan tinggi.
Apa yang perlu anda lakukan ialah genggam stereng dengan kuat menggunakan kedua-dua tangan, kawal arah pemanduan dan pastikan kereta kekal dalam lorong.
Jangan buat gerakan tiba-tiba. Fokus untuk menstabilkan kenderaan terlebih dahulu sebelum berfikir langkah seterusnya.
2. Jangan tekan brek mengejut, kurangkan kelajuan secara semula jadi
Apabila tayar pecah atau meletup, naluri semula jadi kita adalah menekan brek sekuat mungkin untuk menghentikan kereta. Tetapi dalam keadaan ini, tindakan itu boleh menjadi sangat berbahaya.
Memberhentikan kereta secara mengejut boleh menyebabkan kenderaan berpusing, tergelincir atau hilang kawalan sepenuhnya terutama sekali jika tayar depan yang terjejas.
Sebaliknya, lepaskan kaki dari pedal minyak secara perlahan-lahan. Biarkan kelajuan berkurang secara semula jadi sambil terus kawal stereng.
Apabila anda rasa kereta sudah cukup perlahan dan stabil, barulah tekan brek dengan lembut dan terkawal untuk menghentikan kenderaan sepenuhnya.
Sebaik sahaja anda sedar ada masalah pada tayar, hidupkan lampu hazard (lampu isyarat kecemasan). Ini bukan sahaja isyarat kepada pemandu lain bahawa anda sedang menghadapi masalah tetapi juga mengurangkan risiko dilanggar oleh kenderaan lain dari belakang terutama di lebuh raya.
Lampu kecemasan ini sangat penting terutamanya pada waktu malam atau ketika jarak penglihatan rendah seperti hujan lebat.
Ia boleh menyelamatkan nyawa dengan memberi isyarat awal kepada pengguna jalan raya lain supaya mereka lebih berhati-hati dan memperlahankan kenderaan mereka.
BACA : 7 Cara Kurangkan Bahang Kereta Bila Parking Di Tengah Panas
4. Arahkan kereta ke tempat selamat dan berhenti
Setelah kereta mula memperlahankan kelajuan, cuba gerakkan kenderaan ke kawasan selamat. Pilihan yang terbaik ialah bahu jalan, lorong kecemasan atau kawasan lapang yang tidak mengganggu laluan utama.
Elakkan berhenti di tengah jalan, selekoh atau kawasan yang mempunyai jarak penglihatan rendah.
Pastikan anda berhenti di tempat yang rata dan stabil, jauh dari laluan trafik. Ini bukan sahaja penting untuk keselamatan tetapi juga untuk memudahkan kerja-kerja pemeriksaan atau penukaran tayar jika perlu dilakukan kemudian.
Sebaik kenderaan anda berhenti, jangan terus keluar tanpa memastikan keadaan trafik di sekeliling selamat. Jika sudah pasti selamat, keluarlah dari bahagian yang bertentangan dengan arah trafik dan segera letakkan segitiga amaran.
Letakkan segitiga ini sekurang-kurangnya 10 hingga 20 meter di belakang kereta atau lebih jauh jika berada di lebuh raya.
Ia bertindak sebagai amaran visual kepada kenderaan lain supaya memperlahankan kelajuan dan memberi ruang kepada anda. Langkah kecil ini sangat penting untuk mengelakkan kemalangan susulan.
6. Tukar tayar jika anda mahir dan keadaan mengizinkan
Jika anda mempunyai pengetahuan asas dan berada di kawasan yang selamat serta rata, boleh cuba tukar tayar kepada tayar simpanan (spare tyre).
Pastikan anda menggunakan peralatan yang sesuai seperti jack, spanar tayar dan jangan lupa tarik brek tangan sebelum memulakan kerja.
Namun begitu, jika anda tidak pasti atau tidak biasa menukar tayar, jangan paksa diri. Kesilapan semasa menukar tayar boleh menyebabkan kecederaan atau kerosakan tambahan.
Keselamatan harus diutamakan. Sebaiknya tunggu bantuan yang lebih berpengalaman jika perlu.
Sekiranya kejadian berlaku di lebuh raya di lokasi yang gelap atau anda tidak pasti cara menangani keadaan, jangan teragak-agak untuk menghubungi bantuan kecemasan.
Anda boleh hubungi PLUSRonda (jika di lebuh raya), pihak insurans atau khidmat towing berhampiran. Bantuan profesional bukan sahaja lebih pantas tetapi juga lebih selamat.
Elakkan berdiri lama di tepi jalan yang sibuk kerana ia boleh mengundang risiko dilanggar. Sementara menunggu bantuan, kekal dalam kereta dengan tali pinggang dipasang dan pastikan pintu dikunci.
Kesimpulannya, letupan tayar ketika memandu memang mencetuskan panik namun dengan langkah yang tenang dan tindakan yang sistematik, insiden ini boleh diuruskan dengan selamat.
Apa yang lebih penting, insiden sebegini boleh dicegah lebih awal melalui penyelenggaraan berkala.
Periksa tekanan tayar sekurang-kurangnya seminggu sekali. Pastikan bunga tayar masih dalam keadaan baik dan tidak haus, serta tukar tayar apabila sudah sampai jangka hayatnya.
Biasanya antara 4 hingga 6 tahun bergantung pada penggunaan.
Tayar mungkin kelihatan seperti bahagian kereta yang biasa-biasa tetapi hakikatnya ia merupakan satu-satunya komponen yang bersentuhan terus dengan jalan.
Maka, jangan ambil ringan soal penjagaan tayar kerana dalam dunia pemanduan, langkah kecil hari ini boleh jadi penyelamat nyawa esok hari.
BACA : Ini Tanda-Tanda Anak Anda Mungkin Jadi Dibuli Di Asrama Atau Sekolah
Sumber :
telletire
,
tyrescart.ae