Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

TEKUN Lulus Pembiayaan RM6.6 Juta Kepada 215 Usahawan, Permohonan Kini Boleh Dibuat Secara ‘Online’

TEKUN
Kredit: TEKUN

TEKUN Lulus Pembiayaan RM6.6 Juta Kepada 215 Usahawan, Permohonan Kini Boleh Dibuat Secara ‘Online’

Usahawan yang layak di seluruh negara kini boleh mengemukakan permohonan pembiayaan TEKUN Nasional secara dalam talian menerusi Sistem Permohonan TEKUN Online yang dilancarkan secara rasmi hari ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, sistem itu membolehkan usahawan mendaftar akaun, melengkapkan maklumat peribadi dan perniagaan, memuat naik dokumen serta menghantar permohonan tanpa perlu lagi hadir ke pejabat cawangan TEKUN Nasional.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong

Menurut beliau, sistem berkenaan telah melalui fasa projek rintis bermula Julai 2026 di Kuala Lumpur sebelum diperluaskan ke beberapa negeri lain.

“Setakat ini, seramai 1,624 usahawan telah membuat permohonan secara dalam talian. Daripada jumlah itu, sebanyak 215 permohonan bernilai RM6.6 juta telah diluluskan.

“Hari ini, selepas melalui fasa rintis, kita melancarkan Sistem Permohonan TEKUN Online secara rasmi untuk semua usahawan yang layak di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Steven Sim berkata, pelancaran sistem tersebut merupakan kali pertama permohonan pembiayaan TEKUN dilaksanakan secara dalam talian sejak hampir 30 tahun penubuhan agensi itu.

Katanya, kerajaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada jumlah pembiayaan yang disalurkan kepada usahawan, malah turut komited memperluaskan serta menambah baik penyampaian perkhidmatan TEKUN.

Menurut beliau, sepanjang tahun ini, TEKUN Nasional telah menyalurkan lebih RM700 juta kepada hampir 31,000 usahawan di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 13,283 usahawan atau 43 peratus merupakan penerima pembiayaan kali pertama, melibatkan nilai hampir RM260 juta,” ujarnya.

Dalam pada itu, Steven Sim berkata, sejak menerajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), beliau memberi penekanan kepada usaha mengurangkan kerenah birokrasi supaya usahawan dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan perniagaan.

Kredit: TEKUN

Katanya, antara penambahbaikan yang dilaksanakan ialah memendekkan tempoh pemprosesan permohonan pembiayaan di bawah RM100,000 kepada hanya tujuh hari berbanding kira-kira 30 hari sebelum ini.

Menurut beliau, daripada hampir 31,000 pembiayaan yang diluluskan tahun ini, sebanyak 74.5 peratus diluluskan dalam tempoh satu hingga lima hari, manakala hampir 20 peratus lagi diluluskan dalam tempoh enam hingga 10 hari.

Beliau berkata, di bawah Pelan Rekayasa Kerenah Birokrasi KUSKOP, TEKUN kini menyasarkan tempoh kelulusan dan penyaluran pembiayaan dipendekkan lagi kepada hanya lima hari.

Tambahnya, ketika Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia di Johor dan Melaka, TEKUN turut memperkenalkan kemudahan pra-kelulusan pembiayaan sehingga RM20,000 dalam tempoh 24 jam bagi membantu usahawan mikro mendapatkan modal pusingan dengan lebih pantas.

“Bagi usahawan kecil, setiap hari yang dapat dijimatkan sangat bermakna. Lebih cepat mereka mendapat akses kepada modal, lebih cepat mereka boleh membeli stok, mendapatkan peralatan dan mengembangkan perniagaan,” katanya.

Pada majlis sama, TEKUN Corporation Sdn. Bhd., anak syarikat TEKUN Nasional, turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Koperasi Pegawai-Pegawai Melayu Malaysia Berhad (MOCCIS).

Menurut Steven Sim, kerjasama itu merangkumi penerokaan peluang dalam sektor perladangan kelapa sawit, hospitaliti, penginapan resort, dewan bankuet, hartanah serta pelaburan jangka panjang.

Beliau berkata, kedua-dua pihak turut menandatangani kontrak perkhidmatan pengurusan dan pemulihan kredit bernilai hampir RM70 juta.

“Kerjasama ini membuktikan syarikat di bawah agensi kerajaan dan gerakan koperasi mampu menggabungkan kepakaran bagi mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih mampan serta berdaya saing,” katanya.

Intipati
  • TEKUN Online dilancarkan untuk membolehkan usahawan memohon pembiayaan secara dalam talian.
  • Sebanyak 215 permohonan bernilai RM6.6 juta diluluskan daripada 1,624 permohonan dalam talian.
  • TEKUN menyalurkan lebih RM700 juta kepada hampir 31,000 usahawan sepanjang tahun ini.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan