Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Aktiviti All-Terrain Vehicle (ATV) semakin mendapat perhatian sebagai salah satu aktiviti lasak yang penuh cabaran dan adrenalin.
Bagi peminatnya, meluangkan waktu untuk menunggang kenderaan ini mungkin boleh menjadi aktiviti yang menyeronokkan.
Namun, berbeza pula dengan dua orang rakan ini yang berdepan perkara tidak disangka sewaktu menunggangnya.
Pada Sabtu, dua orang penunggang ATV, Adam Sandbeck dan Mike Gravalin dikatakan telah menemukan seorang wanita yang dilaporkan hilang, lapor NBC News.
Pihak polis juga mengesahkan wanita yang ditemui itu ialah Kathryn Jane Woessner, 68 yang berasal dari Minnesota dilaporkan hilang dan tidak dapat dijejaki selama tiga hari.
Mangsa dilaporkan ditemui pada kawasan barat Backus, kira-kira 80 batu dari bandar tempat tinggalnya.
Sebelum ini, kehilangannya telah mencetuskan kebimbangan kerana Woessner berada dalam keadaan berisiko dan mempunyai masalah kesihatan.
Dua orang lelaki yang menemuinya juga memberitahu NBC News bahawa mereka sedang menunggang kenderaan lasak (off-road vehicle) di laluan sekitar Backus dan Hackensack pada hari Sabtu ketika mereka menemui van Woessner yang tersangkut di kawasan berlumpur.
Awalnya, mereka hanya melihat sebuah kenderaan diparkir di kawasan berhampiran dan mereka menyedari kenderaan itu tidak mempunyai keupayaan untuk melalui laluan lasak tersebut dan tertanya-tanya bagaimana ia boleh berada di situ.

“Kami dapat melihat ada seseorang terbaring di dalam lopak air di sebelah van itu, dan ketika itulah kami sedar keadaan ini benar-benar serius.
“Apabila kami menghampirinya, kami sangka dia sudah meninggal dunia. Kami fikir ia hanyalah mayat, tetapi kemudian dia berbisik, ‘Tolong saya’ dan ia benar-benar membuatkan saya terkejut,” kata Sandbeck.

Ujarnya lagi, apa yang dapat dilihat hanyalah bahagian atas kepala Woessner, manakala seluruh tubuhnya dari paras telinga ke bawah tenggelam di dalam lumpur.
Malah, keadaannya yang sangat teruk itu membuatkan mereka beranggapan dia seolah-olah sudah lama terperangkap di situ.
Kedua-dua lelaki tersebut kemudiannya menarik Woessner keluar dari lumpur berkenaan sebelum menghubungi 911.

Tambah Sandbeck lagi, Woessner juga sempat memberitahunya bahawa dia telah terjatuh ke dalam lopak tersebut, yang dikatakan seperti pasir jerlus.
Mereka juga sempat memberitahu pemberita bahawa ia merupakan satu kebetulan yang amat bernasib baik kerana mereka melalui kawasan tempat Woessner terperangkap.
“Kami sudah lapan tahun melalui kawasan itu, tetapi tidak pernah masuk ke laluan tersebut,” tambah Gravalin.
Woessner kemudiannya dibawa ke hospital, kata pejabat polis dalam satu kenyataan.