Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) kini dipindahkan daripada Kementerian Ekonomi untuk menjadi agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi memperkukuh pemantauan program pembangunan Bumiputera.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, langkah itu dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) Bilangan 2 Tahun 2026 yang dipengerusikannya hari ini.
Menurut beliau, pemindahan itu memberi fokus kepada pemantauan lebih berkesan terhadap pelaksanaan inisiatif di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
“Bagi tujuan memantapkan pemantauan program pembangunan Bumiputera, khususnya inisiatif di bawah PuTERA35, TERAJU yang kini dipantau Kementerian Ekonomi dipindahkan menjadi agensi di bawah JPM,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata, langkah tersebut merupakan kesinambungan kepada usaha memperkasa institusi Bumiputera yang sebelum ini dimulakan melalui pemusatan Pelaburan Hartanah Bumiputera (PHB) dan Ekuiti Nasional Berhad di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB).
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pencapaian keseluruhan PuTERA35 setakat ini telah mencapai 64.6 peratus, dengan 160 daripada 493 program yang dirancang berjaya dilaksanakan.
Katanya, perkembangan itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan agenda pembangunan Bumiputera diterjemahkan kepada hasil yang nyata serta memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Pada masa sama, Anwar berkata komitmen pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dalam perniagaan Bumiputera turut ditingkatkan kepada RM2 bilion bagi tahun 2026 berbanding RM1.3 bilion pada tahun sebelumnya.
Menurutnya, peningkatan itu termasuk menerusi inisiatif Larian Ganti Bumiputera yang bertujuan memperluas akses pembiayaan dan pelaburan kepada usahawan Bumiputera di setiap peringkat pertumbuhan.
Selain itu, Khazanah Nasional Berhad turut akan melancarkan Dana Ciptawan dengan peruntukan sebanyak RM200 juta bagi menyokong syarikat Bumiputera peringkat pertengahan (mid-tier companies).
“Dana ini akan memperkukuh keupayaan syarikat Bumiputera untuk berkembang, bersaing dan menembusi pasaran yang lebih luas,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Anwar berkata mesyuarat itu turut meneliti resolusi Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 yang berlangsung pada 1 Mei lalu.
Katanya, penelitian lanjut akan dibuat terhadap beberapa cadangan strategik termasuk penubuhan Majlis Tahfiz Negara bagi memastikan usaha memperkasa pendidikan serta pembangunan modal insan Bumiputera dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan berkesan.