Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lembaga Tabung Haji (TH) kini giat mengambil semula aset-aset strategik daripada Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB) yang berpotensi memberi nilai tambah kepada portfolio pelaburannya dalam usaha terus melindungi kepentingan lebih sembilan juta pendeposit.
TH dalam satu kenyataan memaklumkan, antara aset yang berjaya diperoleh semula tahun ini ialah tanah di Tun Razak Exchange (TRX) yang dibeli pada harga pasaran semasa RM270 juta, lebih rendah berbanding harga asal penjualannya kepada UJSB iaitu RM400 juta.
Selain itu, TH turut membeli semula ladang kelapa sawit milik UJ Estates (Holdings) Sdn. Bhd. pada harga RM695 juta, berbanding nilai penjualan asal sebanyak RM800 juta.
Menurut TH, UJSB merupakan sebuah Syarikat Tujuan Khas (SPV) milik penuh kerajaan yang ditubuhkan bagi mengambil alih aset-aset bermasalah TH bernilai RM9.7 bilion pada harga RM19.9 bilion menerusi Pelan Pemulihan dan Penstrukturan TH pada tahun 2018.
Katanya, langkah itu bertujuan menampung defisit kewangan yang dihadapi TH ketika itu sekali gus membolehkan agihan keuntungan kepada pendeposit bagi tahun kewangan 2018 diisytiharkan.
"Jika tiada tindakan 'bailout' oleh kerajaan pada masa itu, ia juga boleh menyebabkan krisis pasaran kewangan dan menggugat kestabilan negara apabila TH terpaksa menjual aset-aset pada harga terdesak bagi memenuhi permohonan pengeluaran tunai yang besar dan tidak terkawal oleh pendeposit," katanya dalam satu kenyataan awal pagi tadi.
Menurut TH, pihaknya turut diberikan Hak Keutamaan untuk Menolak (Right of First Refusal) terhadap aset-aset yang dipindahkan kepada UJSB sekiranya syarikat itu bercadang menjual aset berkenaan pada masa hadapan.
Bagaimanapun, TH menjelaskan hak tersebut tidak mewajibkan institusi itu membeli semula aset terbabit, sebaliknya hanya memberi keutamaan untuk membuat keputusan berdasarkan penilaian komersial serta kesesuaian dengan strategi pelaburannya.
TH berkata, sepanjang tempoh penerbitan sukuk UJSB, beberapa tawaran penjualan aset pernah dikemukakan kepada TH, namun kesemuanya ditolak kerana tidak memenuhi kriteria pelaburan yang ditetapkan.
Dalam pada itu, TH memaklumkan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan yang dilaksanakan berjaya menangani kerugian pelaburan sebanyak RM12.6 bilion, melibatkan RM10 bilion menerusi pelan pemulihan 2018 serta baki RM2.6 bilion yang diselesaikan secara berperingkat sehingga penghujung 2025.
Menurut TH, institusi itu kekal komited melindungi kepentingan pendeposit, memperkukuh kepercayaan awam serta memastikan operasi dijalankan berasaskan tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab.
"Hasil pelaksanaan pelan strategik, reformasi dan tadbir urus yang lebih baik tanpa campur tangan kerajaan, TH kini kembali berada di landasan yang lebih kukuh dan mampan," katanya.
TH turut memaklumkan kadar Agihan Keuntungan menunjukkan peningkatan yang konsisten, daripada 1.25 peratus pada 2018 kepada 3.25 peratus bagi 2024, sebelum meningkat lagi kepada 3.50 peratus bagi tahun kewangan 2025.
Menurutnya, agihan keuntungan itu dibuat selepas mengambil kira rosot nilai aset bermasalah berjumlah RM2.6 bilion yang tidak dapat dipindahkan kepada UJSB pada penghujung 2018, selain kedudukan kewangan TH kini semakin kukuh dengan usaha membina semula rizab bagi menjamin kestabilan pada masa hadapan.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan