Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tiada Kecederaan Kritikal, Guru Terlibat Insiden Serangan Di Sekolah Antarabangsa Di Kuching Sedang Pulih

Guru Terlibat Insiden Serangan Di Kuching
Kredit: Tunku Putra-HELP

Guru yang terlibat dalam insiden serangan yang didakwa dilakukan oleh seorang pelajar di sekolah antarabangsa Tunku Putra-HELP (TPH) di Kuching, Sarawak, dilaporkan tidak mengalami kecederaan kritikal dan kini sedang pulih.

Dalam satu kenyataan, pihak sekolah memaklumkan bahawa guru berkenaan telah dibawa ke hospital menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan selepas kejadian tersebut.

“TPH amat menghargai keberanian dan ketenangan guru kami sepanjang insiden tersebut serta mendoakan agar beliau pulih sepenuhnya dengan lancar,” kata TPH dalam kenyataan itu.

Guru Terlibat Insiden Serangan Pelajar Di Kuching Sedang Pulih

Tangkap layar video tular insiden melibatkan seorang pelajar dan guru di sebuah sekolah antarabangsa di Kuching, Sarawak.

Dalam pada itu, pihak pengurusan TPH memaklumkan bahawa sekolah berkenaan dibuka semula hari ini, 22 Oktober, selepas mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa berkaitan.

Sementara itu, TPH mengesahkan bahawa pelajar yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu kini berada dalam tahanan polis dan bukan lagi pelajar aktif sekolah berkenaan.

“Perkara tersebut masih dalam siasatan polis, dan pihak sekolah akan terus memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berkaitan,” maklum TPH.

Susulan insiden tersebut, tiga anggota polis bantuan telah ditempatkan di kawasan sekolah berkuat kuasa serta-merta bagi memastikan keselamatan warga sekolah.

Pemeriksaan keselamatan juga akan dilaksanakan terhadap individu yang memasuki kawasan kampus sebagai langkah tambahan untuk mengawal pergerakan keluar masuk.

Pihak sekolah juga sedang meneliti langkah keselamatan jangka panjang yang lebih menyeluruh bagi melindungi pelajar serta kakitangan.

Selain aspek keselamatan fizikal, pasukan kepimpinan kanan sekolah akan mengadakan perhimpunan bagi memberikan penjelasan kepada pelajar berhubung kejadian tersebut.

Sesi berkenaan turut bertujuan memberikan ruang kepada pelajar untuk menyuarakan kebimbangan, mendapatkan penjelasan serta menerima sokongan kaunseling sekiranya diperlukan.

Susulan insiden itu, TPH meminta orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih dan khabar angin yang boleh mengganggu siasatan.

Siasatan polis berhubung kejadian berkenaan masih berjalan, manakala pihak sekolah akan terus mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat.