Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Tiada Lagi Caj Tambahan Untuk Perkhidmatan 5G – Fahmi
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa tiada lagi bayaran atau caj tambahan akan dikenakan untuk perkhidmatan rangkaian 5G.
Fahmi mengumumkan perkara itu menerusi laman X miliknya pada Selasa.
“Dulu masa 3G naik taraf ke 4G, tiada caj tambahan. Bila 4G naik taraf ke 5G, tak sepatutnya ada caj tambahan.
“Hari ini, saya umumkan, tiada lagi caj tambahan untuk perkhidmatan 5G.
“Dengan pengumuman ini, saya ingin mengajak semua untuk naik taraf perkhidmatan telekomunikasi anda ke 5G,” katanya.
Terdahulu, 5G hangat diperkatakan di seluruh dunia kerana membawa perubahan kepada masyarakat dengan gaya hidup lebih pintar dan efektif. Selain itu, ia juga membolehkan kemudahan internet dicapai lebih di banyak kawasan. Seiring dengan peredaran zaman, hampir satu dunia berada di zaman rangkaian 5G.
Sementara itu, Fahmi hari ini juga berkata, isu panggilan terputus telah turun sehingga 74 peratus berbanding September 2023.
“Sejak saya menjadi Menteri Komunikasi, saya tekankan yang isu panggilan terputus atau dropped calls akan menjadi tumpuan saya. Hari ini, saya turun sendiri ke lapangan dan periksa sendiri masalah ini,” ujar Fahmi lagi.
Bukan itu sahaja, Fahmi juga menaiki bas dari Kuala Lumpur sehingga Putrajaya dengan tujuan menguji capaian rangkaian yang disediakan oleh syarikat telekomunikasi. Beliau sendiri meneliti kualiti panggilan telefon bimbit sama ada memuaskan atau tidak.
Dalam pada itu, pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan pengurusan kanan syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan mudah alih iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, Unifi Mobile (TM Tech) dan Yes (YTL Communication) turut menyertai Fahmi dalam perjalanan selama yang hampir sejam.
“Saya panggil semua CEO telco dan media untuk naik bas dari Bangunan Parlimen (Kuala Lumpur) ke Kementerian Komunikasi (Putrajaya). Sepanjang perjalanan, kami periksa kualiti panggilan suara (selular) dan teliti keputusan ujian ini. Untuk ujian hari ini, tiada panggilan terputus sepanjang perjalanan kami.” katanya.
Namun begitu, usaha ini akan diteruskan lagi di kawasan-kawasan lain termasuk meneruskan audit kualiti perkhidmatan panggilan di seluruh Malaysia.
Sumber: Twitter Fahmi Fadzil