Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tiada Masalah Jika Ada Pihak Ambil Kredit Program Lestari Niaga – Ketua UMNO Batu

umno
Kredit: Facebook Gulam Muszaffar

Tiada Masalah Jika Ada Pihak Ambil Kredit Program Lestari Niaga – Ketua UMNO Batu

UMNO Bahagian Batu tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya ada pihak lain mengambil kredit terhadap pelaksanaan Program Lestari Niaga selagi ia memberi manfaat kepada penjaja dan peniaga kecil di Wilayah Persekutuan, khususnya di Parlimen Batu.

Ketuanya, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, ketidakhadiran beliau dalam sidang media berkaitan program itu bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh di UTC Sentul hari ini telah menimbulkan pelbagai persoalan.

Menurut beliau, ramai yang bertanya mengenai ketidakhadirannya walaupun pada awalnya namanya tidak tersenarai dalam jemputan rasmi sebelum dipanggil pada saat akhir.

“Ramai yang bertanya dengan saya ketidakhadiran saya di majlis tersebut walaupun sejujurnya pada awalnya tiada dalam senarai jemputan tetapi saya dijemput juga pada saat akhir.

“Tiada masalah tanpa kehadiran saya walaupun saya terbabit dalam beberapa sesi libat urus dengan DBKL dan penjaja-penjaja.

“Jika Menteri Wilayah Persekutuan, Ahli Parlimen Batu atau Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Batu mahu ambil kredit sekalipun, saya tiada masalah.

“Yang penting urusan Program Lestari Niaga berjalan dengan baik dan harmoni demi kebaikan penjaja dan peniaga kecil di Wilayah Persekutuan, khususnya Parlimen Batu,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook hari ini.

Sebelum ini, isu perobohan struktur penjaja di Jalan 3/48A berhadapan UTC Sentul tular di media sosial sehingga mencetuskan dakwaan kononnya peniaga kecil ditindas pihak berkuasa tempatan.

Susulan itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) turun padang meninjau kawasan pembangunan semula tapak penjaja di UTC Sentul hari ini.

Dalam pada itu, Gulam mendedahkan penglibatannya dalam program tersebut adalah atas kapasiti sebagai pemimpin tempatan selepas diminta secara peribadi oleh pihak DBKL untuk memberi pandangan serta membantu sesi libat urus bersama penjaja yang terlibat.

“Walaupun tidak pernah dipanggil secara rasmi oleh pejabat Menteri Wilayah Persekutuan atau Ahli Parlimen Batu untuk berbincang, saya memahami realiti politik semasa dan menganggap ia sebagai sesuatu yang biasa,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur kerana mengambil kira beberapa cadangan yang dikemukakannya bagi menjaga kebajikan penjaja yang terjejas sepanjang tempoh projek dilaksanakan.

Menurutnya, antara cadangan yang diketengahkan termasuk pemberian pampasan bulanan sebanyak RM1,500 selama tiga bulan kepada penjaja terlibat berbanding tuntutan asal RM3,000 sebulan.

Selain itu, beliau juga mencadangkan supaya tempoh pelaksanaan projek dipendekkan daripada enam bulan kepada tiga bulan serta mengekalkan lokasi perniagaan di tapak asal bagi memastikan sumber pendapatan penjaja tidak terjejas.

“Ini merupakan janji dan ikrar saya kepada Datuk Bandar, Pengarah Jabatan Penjaja dan pegawai-pegawai DBKL ketika mereka memohon penglibatan serta pandangan saya dalam urusan Program Lestari Niaga.

“Selagi diperlukan, saya akan terus membantu DBKL dalam sesi libat urus bersama penjaja atas kapasiti Ketua UMNO Bahagian Batu demi memastikan kebajikan mereka terus terbela,” katanya.

Tambah beliau, beberapa rakaman video sesi libat urus yang diadakan di UTC Sentul, Taman Dato Senu, Batu Muda dan beberapa lokasi lain di Parlimen Batu akan dikongsikan sebagai bukti penglibatan berterusannya dalam menjayakan program tersebut.

Katanya, Program Lestari Niaga merupakan inisiatif bagi menambah baik kemudahan serta persekitaran perniagaan penjaja supaya pembangunan bandar dapat dilaksanakan tanpa mengabaikan kepentingan peniaga kecil yang menjadi nadi ekonomi setempat.