Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tragedi Kepala Air: Tiga Maut Dihanyutkan Arus Deras

Kepala Air
Gambar: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kedah

Tragedi Kepala Air: Tiga Maut Dihanyutkan Arus Deras

Tiga individu, termasuk seorang wanita dewasa dan dua kanak-kanak lelaki, disahkan meninggal dunia selepas dihanyutkan arus deras dalam kejadian fenomena kepala air di Sedim Rainforest Resort, Karangan, petang tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kedah, Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 2.27 petang.

Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech segera dilarikan ke lokasi kejadian.

Jentera pertama tiba di lokasi pada jam 3.21 petang selepas menempuh perjalanan sejauh 29 kilometer.

Komander Operasi, PBK I Mohamad Yazan Yahaya berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila fenomena kepala air melanda kawasan air terjun, menyebabkan ketiga-tiga mangsa dihanyutkan arus deras.

Susulan itu, pasukan bomba segera melancarkan operasi mencari dan menyelamat di kawasan puncak bukit serta sepanjang aliran sungai bagi mengesan mangsa.

Hasil operasi, ketiga-tiga mangsa berjaya ditemukan di aliran sungai di pertengahan bukit.

Pemeriksaan yang dilakukan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kesemua mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Operasi yang turut melibatkan anggota JBPM dan PDRM itu ditamatkan selepas semua mangsa berjaya ditemukan.

Dalam pada itu, JBPM Kedah menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengelakkan sebarang aktiviti rekreasi di kawasan sungai atau air terjun ketika cuaca buruk kerana fenomena kepala air boleh berlaku secara tiba-tiba dan mengancam nyawa.