TikTok Shop Perkukuh Sokongan Terhadap Perniagaan Tempatan
Platform e-dagang dipercayai di Malaysia, TikTok Shop, menegaskan semula peranan e-dagang penemuan (discovery e-commerce) dan jualan secara LIVE sebagai enjin perkembangan utama bagi perniagaan di Malaysia pada Sidang Kemuncak TikTok Shop Malaysia 2026, acara libat urus industri terbesar platform tersebut bagi tahun ini. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Perdana Menteri YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, sekali gus menandakan keselarasan dan sokongan padu kerajaan terhadap inisiatif ekonomi platform digital ini.
Nur Azre Abdul Aziz, Pengarah Kanan Kerjasama Strategik TikTok Shop Malaysia, berkata: “Seiring dengan kematangan landskap dagangan digital di Malaysia, TikTok Shop membantu perniagaan meraih bahagian perbelanjaan pengguna (wallet share) yang lebih besar, dengan dagangan LIVE menjadi pemecut utama anjakan ini menerusi jalinan hubungan, keaslian dan interaktiviti yang memacu pengguna daripada peringkat penemuan kepada inspirasi dan seterusnya pembelian dengan lebih pantas. Inilah yang menjadikan ekosistem TikTok Shop begitu berkesan: ia menyatukan hiburan, komuniti dan perdagangan dalam satu perjalanan yang lancar. Di Malaysia, perkara ini terbukti jelas apabila hampir 6 daripada 10 pengguna kami kini menamakan LIVE sebagai format beli-belah pilihan mereka, seperti yang dicerminkan menerusi peningkatan jualan LIVE sebanyak 48% tahun ke tahun yang kini menyumbang hampir satu pertiga daripada jualan platform.”

Memperkukuh Sokongan terhadap Perniagaan Tempatan Menerusi #JomLokal
Pada sidang kemuncak tahunan itu, yang turut dihadiri oleh Menteri Komunikasi, YB Dato' Seri Fahmi bin Fadzil; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), YB Datuk Armizan Mohd Ali; dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Tuan Steven Sim, TikTok Shop mengesahkan semula komitmen pelaburan berterusannya dalam ekosistem perdagangan tempatan di Malaysia menerusi #JomLokal. Melalui kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan seperti KPDN dan KUSKOP, platform ini telah menurunkan kos sara hidup dan kos operasi perniagaan tempatan, menyokong 400,000 penjual dan pencipta kandungan tempatan, memacu pertumbuhan lebih 800,000 produk tempatan, serta menjana 140% pertumbuhan jualan tahun ke tahun bagi penjual #JomLokal (Jun 2026 berbanding Jun 2025).
Berasaskan inisiatif bantuan kos sara hidup bernilai RM180 juta yang dilancarkan bersama KPDN pada Jun lalu, TikTok Shop memperuntukkan komitmen tambahan sebanyak RM70 juta di bawah program JomLokal Booster 2.0 yang baru dilancarkan, menjadikan jumlah komitmen keseluruhan bagi tahun 2026 mencecah RM250 juta. Menerusi komisen platform 0% bagi tambahan 44 subkategori, bantuan kewangan serta subsidi untuk menyokong penjual dalam aspek logistik, aktiviti promosi dan keperluan pertumbuhan penjual yang lain, JomLokal Booster 2.0 bertujuan membantu penjual dan pencipta kandungan tempatan berkembang dengan lebih mampan, beroperasi dengan lebih cekap, dan menjangkau lebih ramai pelanggan. Kelab JomLokal (JomLokal Club) juga akan menyediakan peluang kepada penjual dan pencipta kandungan untuk berhubung dan berkembang bersama melalui padanan perniagaan, sesi latihan, serta pertandingan antara negeri.

Azre menambah: “JomLokal Booster 2.0 merupakan fasa seterusnya dalam program sokongan perdagangan tempatan kami. Ia menggabungkan sokongan kewangan penjual dan pencipta kandungan, perkongsian ilmu, latihan, serta inisiatif diterajui komuniti ke dalam satu gerakan nasional. Matlamat utamanya adalah untuk mengurangkan halangan perniagaan bagi setiap usahawan Malaysia, daripada penjual kali pertama hinggalah jenama tempatan yang mantap, agar mereka dapat membina perniagaan secara mampan, bukan sahaja ketika musim jualan puncak, malah untuk jangka panjang.”
Bagi para pembeli, program ini turut menawarkan akses kepada rebat RM2 bagi penghantaran standard untuk semua pesanan, di samping pilihan logistik yang diperluas termasuk Penghantaran Laut (Sea Shipping) ke Malaysia Timur dan pusat pengambilan kendiri di seluruh negara.
Memperkasa Persediaan Menjelang Musim Jualan Mega dan Selanjutnya
Pada Sidang Kemuncak tahunan TikTok Shop, para peniaga diberi gambaran tentang peluang perdagangan masa hadapan. TikTok Shop mengetengahkan kategori dengan pertumbuhan terpantas di platform tersebut termasuk Automotif (+70%), Perkakas Rumah (+58%), Bekalan Haiwan Peliharaan (+57%), Pembaikan Rumah (+47%), dan Bayi & Ibu Mengandung (+45%) (Julai 2026 berbanding Julai 2025) di samping alat dan sumber yang disediakan menerusi #JomLokal serta JomLokal Booster 2.0 bagi membantu jenama memanfaatkan peluang beli-belah pada bulan-bulan mendatang.
Musim beli-belah di Malaysia telah terbukti luar biasa bagi para penjual tempatan. Sepanjang musim perayaan Ramadan dan Raya baru-baru ini, penjual di Malaysia menyaksikan peningkatan jualan sebanyak 51% berbanding hari biasa, sekali gus memperkukuh minat pembeli di Malaysia yang semakin meningkat terhadap dagangan LIVE berasaskan penemuan menjelang jualan 9.9, 11.11, dan 12.12.

Dengan menawarkan medan persaingan yang saksama berteraskan kualiti kandungan dan penglibatan audiens, TikTok Shop terus membolehkan perniagaan daripada pelbagai saiz bertapak, berkembang, dan bersaing secara berkesan. Malah, 97% daripada perniagaan yang ditinjau melihat TikTok sebagai sumber pendapatan yang penting, dengan 72% menekankan keupayaannya untuk menjangkau audiens baharu, 59% mengetengahkan peranannya dalam memudahkan interaksi langsung dan maklum balas daripada pelanggan sedia ada yang membolehkan mereka menyesuaikan produk mengikut keperluan pengguna, serta kira-kira 50% menyatakan bahawa TikTok menyumbang lebih 40% daripada keseluruhan pendapatan mereka (Laporan Impak Sosioekonomi TikTok Malaysia 2025).

Oleh kerana e-Dagang menyumbang hampir 60% kepada ekonomi digital negara, TikTok Shop bersedia untuk memacu tahap pertumbuhan e-Dagang seterusnya di Malaysia, didorong oleh ekosistemnya yang menyepadukan hiburan, pendidikan, dan perdagangan secara lancar.
Bakal usahawan, PMKS tempatan, dan jenama buatan Malaysia yang ingin memacu pertumbuhan perniagaan mereka boleh mendaftar di TikTok Shop Seller Centerserta meneroka tutorial langkah demi langkah di Akademi TikTok Shop Academy.
