Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tindakan McDonald’s Israel Adalah Persendirian, Tak Cerminkan Francais Di Negara Ini – McDonald’s Malaysia

Iqbal Yasir
tindakan mcdonald's israel
Gambar: Bernama @ McDonald's Malaysia

Tindakan McDonald’s Israel Adalah Persendirian, Tak Cerminkan Francais Di Negara Ini – McDonald’s Malaysia

McDonald’s Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa tindakan McDonald’s Israel yang didakwa memberikan sumbangan makanan terhadap tentera Israel adalah tindakan persendirian dan tidak mencerminkan nilai atau amalan syarikat itu di negara ini.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh pihaknya selepas timbul perdebatan di media sosial.

Dalam kenyataan tersebut, McDonald’s Malaysia juga berkata keputusan sebelah pihak yang dibuat oleh pemegang francais individu tidak boleh dianggap sebagai tindakan global, dasar syarikat atau pendirian politik rasmi yang diambil oleh McDonald’s secara global.

BACA: Isu Viral 10 Paket Sos, McDonald’s Malaysia Buat Laporan Polis

“Tindakan pengendali McDonald’s di Israel adalah contoh tindakan individu yang dimaksudkan, ia bukan keputusan global dan tidak diluluskan oleh mana-mana pengendali tempatan lain.

“Adalah penting untuk mengetahui McDonald’s Malaysia (Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd) adalah sebuah syarikat operasi tempatan, dan sejak pengambilalihan oleh Lionhorn Pte. Ltd. di bawah syarikat Reza Group dari Arab Saudi pada 2017, ia telah menjadi entiti yang 100 peratus milik orang Islam,” maklum kenyataan tersebut.

Tambahnya, syarikat itu juga setiap tahun membayar zakat.

“Sejak daripada itu, McDonalds’s telah membayar zakat dan terus melakukannya setiap tahun.

“Sehingga 2023, kami telah membayar lebih RM12 juta zakat kepada 14 negeri di seluruh Malaysia, bagi membantu golongan masyarakat yang kurang bernasib baik,” katanya.

Sehubungan itu, McDonald’s Malaysia juga menyatakan komitmen mereka dalam usaha untuk menyumbang kembali kepada masyarakat di sekitar lokasi operasi mereka.

“Kami juga mengambil beribu-ribu warga tempatan sebagai kakitangan, sekaligus menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan masyarakat di negara ini,” katanya.

BACA JUGA: McDonald’s Malaysia Menyumbang Zakat Korporat RM100,000 Kepada Negeri Pahang

Imbas kembali, McDonald’s Malaysia telah menyumbangkan zakat korporat bagi tahun 2023 berjumlah RM100,000 kepada Pusat Kutipan Zakat Pahang dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) pada Jun lalu.

Sejak enam tahun lalu, McDonald’s Malaysia telah membayar sejumlah RM781,000 zakat korporat untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan di negeri Pahang.

Sumber: X McDonald’s Malaysia