Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Trafik KLK, PLUS Mula Sesak Menjelang Tamat Cuti Persekolahan

PLUS
Tangkap layar video Facebook LLM

Aliran trafik di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) mula mengalami kesesakan petang ini susulan peningkatan jumlah kenderaan ketika orang ramai pulang ke ibu negara menjelang berakhirnya cuti persekolahan.

Berdasarkan laporan Pusat Pengurusan Trafik, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) setakat jam 5 petang, trafik arah barat di KLK dilaporkan perlahan dari Plaza Tol Bentong menuju Bukit Tinggi.

Kesesakan turut berlaku sepanjang kira-kira 5.4 kilometer menghampiri Plaza Tol Gombak, iaitu laluan utama pengguna dari Pantai Timur menuju ke Lembah Klang.

Keadaan itu berlaku ketika orang ramai dijangka menggunakan hari terakhir cuti persekolahan untuk pulang ke kediaman masing-masing sebelum sesi persekolahan bermula semula esok.

Selain itu, trafik dari Temerloh ke Lanchang turut dilaporkan perlahan berikutan pelaksanaan projek tebatan banjir.

Trafik PLUS Turut Perlahan

Dalam pada itu, peningkatan jumlah kenderaan turut dikesan di beberapa laluan utama Lebuhraya Utara-Selatan.

Bagi E1 arah selatan, trafik bergerak perlahan dari Seberang Jaya ke Juru, Alor Pongsu ke Taiping, Terowong Menora ke Meru, Gopeng ke Tapah serta Bidor ke Trolak.

Arah utara pula dilaporkan sesak dari Taiping Utara menuju kawasan R&R Gunung Semanggol susulan kemalangan di Kilometer (KM) 196.3 yang menyebabkan lorong kecemasan dan lorong kiri terhalang.

Bagi E2 PLUS arah utara, trafik perlahan dari Simpang Renggam ke Machap, Pedas Linggi ke Seremban, Bandar Ainsdale ke R&R Seremban, Southville ke Kajang serta selepas Plaza Tol Sungai Besi menuju pusat bandar raya.

Kemalangan di KM70.8 antara Simpang Renggam dan Machap turut menyebabkan lorong kecemasan terhalang.

Sementara itu, bagi arah selatan, trafik dilaporkan perlahan dari Serdang ke Nilai, Ayer Keroh ke Jasin, Yong Peng ke Machap serta Simpang Renggam ke Kulai.

Sebuah bas yang mengalami kerosakan di KM54.8 turut menyebabkan lorong kecemasan dan sebahagian lorong kiri terhalang di laluan Simpang Renggam ke Kulai.

Intipati
  • Trafik KLK arah barat perlahan dari Plaza Tol Bentong menuju Bukit Tinggi.
  • Kesesakan kira-kira 5.4 kilometer dilaporkan menghampiri Plaza Tol Gombak petang ini.
  • Beberapa laluan PLUS turut perlahan akibat peningkatan kenderaan, kemalangan dan bas rosak.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan