Seorang individu maut manakala beberapa lagi cedera dalam satu insiden membabitkan permainan roller coaster di sebuah taman tema di Georgia, Amerika Syarikat (AS), pada Isnin.
Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak mengesahkan punca kematian mangsa atau bagaimana individu lain mengalami kecederaan dalam kejadian di Six Flags Over Georgia itu.

Pengerusi Lembaga Pesuruhjaya Daerah Cobb, Lisa Cupid berkata, detektif daripada unit jenayah berat daerah itu sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti apa sebenarnya yang berlaku.
Cupid mengesahkan seorang individu maut dan beberapa yang lain cedera, selain memaklumkan bahawa ahli keluarga terdekat mangsa telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.
“Satu tragedi menyayat hati berlaku hari ini di Six Flags Over Georgia.
“Saya tidak dapat membayangkan kengerian yang disaksikan pengunjung dan pekerja ketika kejadian itu berlaku. Hati saya turut bersedih buat keluarga yang kehilangan insan tersayang,” katanya lagi.
Sembilan roller coaster ditutup sementara
Jurucakap Six Flags memberitahu media Amerika Syarikat bahawa pihak taman tema bersama pihak berkuasa tempatan bertindak dengan segera dan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam siasatan.
“Kami amat berdukacita atas insiden membabitkan pengunjung di taman tema kami hari ini,” ujarnya.
Sebagai langkah berjaga-jaga, Six Flags turut menutup sementara sembilan roller coaster serupa di enam taman temanya di seluruh Amerika Utara.
Pihak berkuasa tidak mendedahkan permainan yang terlibat dalam kejadian di Georgia itu.
Bagaimanapun, media tempatan mengenal pasti permainan berkenaan sebagai roller coaster Goliath.
Menurut laman web taman tema itu, Goliath mampu mencapai kelajuan maksimum 113 kilometer sejam dan ketinggian 61 meter.
Insiden roller coaster
Kejadian itu menyusul selepas Six Flags memutuskan untuk menutup secara kekal sebuah roller coaster popular di taman temanya di California pada bulan lalu.
Keputusan tersebut dibuat selepas puluhan individu mendakwa mengalami kecederaan otak akibat menaiki permainan berkenaan.


