Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Trek Olahraga Kompleks Belia Dan Sukan Labuan Percuma Hingga 31 Dis

trek
Kredit: Bernama

LABUAN, 23 Nov (Bernama) -- Penggemar sukan serta atlet di Labuan berpeluang menggunakan trek olahraga yang baru dinaik taraf di Kompleks Belia dan Sukan Labuan secara percuma mulai esok hingga 31 Dis ini.

Iklan

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata inisiatif itu adalah tanda penghargaan kepada penduduk Labuan khususnya komuniti sukan tempatan atas kesabaran menunggu selama sembilan tahun sehingga projek naik taraf bernilai RM21.45 juta berkenaan siap.

Beliau berkata kemudahan percuma itu membolehkan penduduk, atlet, persatuan sukan dan keluarga menikmati kemudahan olahraga yang dinaik taraf serta memenuhi piawaian antarabangsa.

“Penggunaan trek olahraga ini tertakluk kepada waktu operasi yang ditetapkan oleh Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Labuan.

“Kompleks ini menawarkan 33 kemudahan untuk disewa termasuk trek olahraga lapan lorong, padang sintetik, gelanggang badminton tertutup, futsal, bola pikel, gimnasium dan dewan serba guna,” katanya pada majlis penyerahan projek itu di sini hari ini.

Mohammed Taufiq berkata trek olahraga itu turut memperoleh pensijilan Kelas 2 Olahraga Dunia sekali gus membolehkan atlet tempatan menjalani latihan dan pertandingan di kemudahan bertaraf antarabangsa tanpa perlu ke luar dari Labuan.

Beliau berkata sambutan masyarakat terhadap aktiviti sukan di pulau berkenaan kekal menggalakkan apabila hasil kutipan sewaan kompleks itu mencecah RM139,434 setakat 17 Nov lepas, iaitu tertinggi dalam tempoh empat tahun.

JBS Labuan, katanya, turut menganjurkan 82 program tahun ini dengan 93,789 penyertaan dan perbelanjaan berjumlah RM1.49 juta merangkumi 21 program pembangunan belia, 40 program pembangunan sukan serta 21 program Rakan Muda.

Mohammed Taufiq berharap kemudahan yang dinaik taraf itu dapat menggalakkan lebih ramai penduduk menyertai aktiviti sukan dan rekreasi selain menjadi pusat pembangunan atlet serta hab belia yang menawarkan peluang dalam bidang kepimpinan, keusahawanan, kemahiran digital serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Beliau turut menggalakkan pembangunan aktiviti rekreasi luar seperti berkayak dan menyelam dengan memanfaatkan tarikan pulau serta perairan sekitar Labuan.

Pada masa sama, orang ramai diingatkan supaya menjaga kebersihan dan keadaan kemudahan itu manakala JBS Labuan perlu memastikan penyelenggaraan berkala serta pemeriksaan keselamatan dilaksanakan.

-- BERNAMA

Intipati
  • Trek olahraga Kompleks Belia dan Sukan Labuan percuma digunakan mulai esok hingga 31 Disember.
  • Projek naik taraf RM21.45 juta itu siap selepas sembilan tahun dan bertaraf antarabangsa.
  • JBS Labuan menganjurkan 82 program tahun ini dengan 93,789 penyertaan direkodkan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan