Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Trump Sekali Lagi Puji Malaysia & PM Anwar Ketika Di Korea Selatan
Kedatangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Malaysia pada 26 Oktober lalu mencuri tumpuan dunia. Kunjungan itu memperlihatkan perjanjian perdagangan dimeterai antara AS dan Malaysia.
Selain itu, sejarah juga terukir apabila Perjanjian Damai KL ditandatangani oleh Thailand dan Kemboja yang disaksikan oleh Trump.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN dipuji oleh Trump kerana berperanan membawa kedua-dua negara jiran itu ke meja rundingan.
Selepas menamatkan lawatan dua hari di Kuala Lumpur, Trump turut memuji Malaysia sebagai negara yang hebat.
Namun, ia tidak berhenti di situ, Trump sekali lagi bercakap mengenai Malaysia ketika berucap di Sidang Kemuncak CEO Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Korea Selatan pada Rabu.
Trump menerusi ucapannya menyentuh mengenai keamanan serantau sekaligus mengaitkan mengenai Perjanjian Damai KL.
Menurutnya, Malaysia selaku ‘orang tengah’ dalam perjanjian damai itu merupakan sebuah negara yang luar biasa.
“Saya berulang kali menghubungi pemimpin Kemboja dan Thailand dan selepas dua hari kami berjaya (untuk ke meja rundingan) dengan bantuan Malaysia yang menjadi ‘orang tengah’.
“Kami guna kemudahan yang sangat cantik di Malaysia.
“Malaysia memang luar biasa, mereka banyak membantu menjayakan perjanjian damai ini. Perdana Menteri mereka hebat,” katanya.
Menurutnya lagi, perjanjian damai itu merupakan satu perkara yang sangat indah untuk dilihat.
“Kami mungkin telah menyelamatkan jutaan nyawa,” katanya.
Beliau juga turut berharap agar hubungan Thailand dan Kemboja terus kekal baik.
“Saya guna perkataan kekal selamanya, sama juga di Timur Tengah, saya harap keamanan di sana akan kekal selamanya,” katanya.
Trump yang tiba di Korea Selatan pada pagi Rabu bertemu dengan Presiden Lee Jae Myung di Gyeongju.
Korea Selatan menjadi destinasi terakhir Trump dalam rangka lawatan ke Asia yang turut merangkumi Malaysia dan Jepun.
Trump juga dijangka akan bertemu dengan Presiden China, Xi Jinping pada Khamis.
Sumber: The White House