Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Trump Sekali Lagi Tangguh Tarikh Akhir Serangan Terhadap Aset Tenaga Iran

Trump Sekali Lagi Tangguh Tarikh
Kredit: AFP

Trump Sekali Lagi Tangguh Tarikh Akhir Serangan Terhadap Aset Tenaga Iran

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Khamis menangguhkan tarikh akhir untuk melancarkan serangan ke atas aset tenaga Iran kepada 6 April, sambil berkata ia dibuat atas permintaan Tehran dan rundingan sedang berjalan dengan sangat baik.

Memetik AFP, Trump sebelum ini menafikan bahawa beliau terdesak untuk mencapai perjanjian bagi menamatkan perang di Timur Tengah, walaupun Republik Islam itu memberikan reaksi dingin terhadap pelan damai AS.

“Rundingan sedang berjalan dan walaupun terdapat kenyataan tidak tepat oleh media berita palsu dan pihak lain, ia berjalan dengan sangat baik,” kata Trump menerusi platform Truth Social miliknya.

Sabtu lalu, Trump pada awalnya memberi Iran tempoh 48 jam untuk membuka Selat Hormuz kepada kapal tangki minyak, sambil mengancam untuk memusnahkan loji janakuasa negara itu, namun kini beliau telah melanjutkan tarikh akhir tersebut sebanyak dua kali.

“Seperti yang diminta oleh kerajaan Iran, kenyataan ini mewakili bahawa saya menangguhkan tempoh pemusnahan loji tenaga selama 10 hari sehingga Isnin, 6 April 2026, jam 8 malam waktu Timur,” katanya.

Utusan Trump, Steve Witkoff memberitahu mesyuarat kabinet bahawa terdapat tanda-tanda kukuh Tehran bersedia untuk berunding, sambil mengesahkan buat pertama kali secara terbuka bahawa Washington telah menyerahkan senarai tindakan 15 perkara kepada Iran melalui pegawai Pakistan.

“Kita akan lihat ke mana hala tuju ini dan sama ada kita boleh meyakinkan Iran bahawa ini adalah titik perubahan tanpa pilihan baik lain selain lebih banyak kematian dan kemusnahan,” kata Witkoff.

Kredit: AFP

Sementara itu, agensi berita Iran, Tasnim News Agency melaporkan bahawa respons Iran terhadap 15 perkara yang dicadangkan oleh AS telah dihantar secara rasmi malam tadi melalui perantara dan Iran kini menunggu jawapan pihak satu lagi.

Laporan Tasnim yang memetik pegawai tanpa nama berkata, jawapan Iran menuntut supaya serangan AS dan Israel dihentikan terhadap Iran serta kumpulan yang disokong Tehran di rantau itu termasuk Hezbollah di Lubnan.

Ia juga menyatakan pampasan perang perlu dibayar dan kedaulatan Iran ke atas Selat Hormuz mesti dihormati. Syarat ini jauh melangkaui cadangan dalam pelan AS.