Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Trump Tukar Nama AI Kepada 'Super Intelligence' Ketika Dunia Bahas Risikonya

Trump Tukar Nama Ai
Kredit: South China Morning Post

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan pentadbirannya akan menukar nama kecerdasan buatan (AI) kepada 'kecerdasan super' dalam semua komunikasi rasmi.

Pengumuman itu dibuat ketika pemimpin dunia membincangkan cara menangani risiko teknologi AI yang berkembang dengan pantas.

Ketika berucap di Perhimpunan Agung PBB, Trump mempertahankan pendirian tegasnya menentang kawalan dan regulasi terhadap AI.

Beliau berkata perkataan “artificial” seolah-olah merendahkan keupayaan sebenar teknologi tersebut, di samping turut berharap negara lain menggunakan istilah baharu berkenaan.

“Super Intelligence kedengaran jauh lebih baik dan lebih tepat,” katanya.

Trump Umum Tukar Nama AI Kepada 'Super Intelligence'

Trump turut membandingkan amaran daripada penyokong keselamatan AI dengan amaran mengenai perubahan iklim.

Beliau berkata, individu yang sebelum ini memberi amaran dunia akan berdepan kesan buruk akibat pemanasan global kini turut memberi amaran AI boleh membawa bencana.

“AS menolak sebarang percubaan untuk membina rangka kerja global bagi mengawal AI,” tegasnya.

“Setiap teknologi baharu yang besar pasti membawa cabaran tersendiri dan 'super intelligence' tidak terkecuali.

“Orang yang sama pernah mendakwa kita semua akan mati dalam tempoh 12 tahun disebabkan pemanasan global kini mendakwa AI akan membunuh kita semua, robot akan menyerang kita dan segala-galanya akan menjadi bencana,” ujarnya.

Penjenamaan semula ini merupakan sebahagian daripada siri pertukaran nama yang dibuat oleh pentadbiran Trump.

Tahun lalu, pentadbirannya mengubah nama Teluk Mexico kepada “Teluk Amerika” menerusi perintah eksekutif, manakala pada Ogos lalu, Tasik Ontario dinamakan semua sebagai “Lake America” di tengah-tengah pertikaian perdagangan dengan Kanada.

Sebelum ini, menjelang perhimpunan PBB, pemimpin daripada lebih 20 negara mendesak agar langkah keselamatan dikuatkuasakan terhadap perkembangan AI.

Mereka memberi amaran pembangunan teknologi tersebut berisiko melampaui keupayaan manusia untuk mengawalnya.

Bagaimanapun, dua kuasa besar AI dunia iaitu China dan AS tidak menyokong cadangan berkenaan.

Perdana Menteri Britain, Andy Burnham berkata negaranya akan melancarkan usaha untuk mewujudkan piawaian AI global ketika Britain menjadi tuan rumah sidang G20 pada 2027.

Beliau turut mengumumkan kerjasama pertahanan AI bersama Washington bagi mengesan serangan siber terhadap infrastruktur kritikal.

Sementara itu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron pula mencadangkan supaya teknologi AI dibangunkan secara bebas daripada kuasa-kuasa besar dunia.

“Saya tidak mahu sesiapa menjadi vassal kepada salah satu kuasa besar,” katanya, dipercayai merujuk kepada China dan AS.

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menggesa AS dan China untuk memulakan dialog mengenai masa depan teknologi AI.

“Kerajaan yang mempunyai keupayaan AI terbesar mempunyai tanggungjawab terbesar untuk mewujudkan saluran dialog.

“Pada detik penting Perang Dingin, pihak yang bersaing secara strategik mula menyedari keperluan untuk mengurus risiko kewujudan bersama,” katanya.

China dan AS kini sedang membincangkan usaha mewujudkan saluran komunikasi bagi membincangkan kebimbangan berkaitan AI.

Perbincangan itu dibuat menjelan pertemuan Trump dengan Presiden China, Xi Jinping pada Khamis. - AFP

Intipati
  • Trump mengumumkan istilah AI akan diganti dengan “kecerdasan super” dalam komunikasi rasmi AS.
  • Beliau menolak rangka kerja global mengawal AI dan mengkritik amaran keselamatan teknologi itu.
  • PBB menggesa AS dan China berdialog mengenai AI ketika kebimbangan global semakin meningkat.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan